Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sekali lagi menegaskan pihak sekolah tidak boleh memotong wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) walaupun untuk bayaran yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Beliau berkata, wang BAP berkenaan seharusnya diberikan kepada ibu bapa untuk persekolahan anak-anak mereka.

"Soal bayaran PIBG adalah perkara lain dan wang BAP itu adalah sepenuhnya untuk kegunaan ibu bapa dalam menguruskan perbelanjaan persekolahan anak-anak mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Sesi Libat Urus bersama Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan Penyerahan Cek BAP Pulau Pinang di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, hari ini.

FADLINA Sidek ditemui media pada majlis Sesi Libat Urus Bersama-sana LPS Pulau Pinang dan Penyerahan BAP . FOTO Danial Saad
FADLINA Sidek ditemui media pada majlis Sesi Libat Urus Bersama-sana LPS Pulau Pinang dan Penyerahan BAP . FOTO Danial Saad

Media sebelum ini melaporkan terdapat rungutan daripada ibu bapa apabila wang bantuan berkenaan dipotong pihak sekolah untuk bayaran tertentu.

Ia berdasarkan perkongsian seorang individu di laman sosial yang mendakwa anaknya hanya menerima RM50 daripada pihak sekolah ketika proses pengagihan bantuan terbabit.

Semalam, Fadhlina meminta ibu bapa yang tidak menerima sepenuhnya bantuan sebanyak RM150 daripada pihak sekolah diminta melaporkan perkara itu kepada KPM.

Sementara itu, Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan giat menyalurkan BAP di semua sekolah di seluruh negara dengan peruntukan lebih RM700 juta yang dijangka selesai pada 11 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2024 @ 3:51 PM