BELI keperluan sekolah yang benar-benar diperlukan sahaja. - FOTO Arkib NSTP
BELI keperluan sekolah yang benar-benar diperlukan sahaja. - FOTO Arkib NSTP
PEMBELIAN awal bantu meringankan beban perbelanjaan. - FOTO Arkib NSTP
PEMBELIAN awal bantu meringankan beban perbelanjaan. - FOTO Arkib NSTP
KASUT antara keperluan persekolahan paling utama. - FOTO Arkib NSTP
KASUT antara keperluan persekolahan paling utama. - FOTO Arkib NSTP
GARIS panduan pemakaian murid 2024/2025 harus diambil kira untuk sediakan keperluan sekolah anak. - FOTO Arkib NSTP
GARIS panduan pemakaian murid 2024/2025 harus diambil kira untuk sediakan keperluan sekolah anak. - FOTO Arkib NSTP
Suliati Asri


Penggal persekolahan 2024 bakal bermula tidak lama lagi.

Pastinya saat ini, rata-rata ibu bapa sudah mula berkira-kira mengenai perbelanjaan persekolahan termasuk yuran, barang keperluan sekolah dan sebagainya.

Pengumuman garis panduan pemakaian murid bagi sesi 2024/2025 bermula Mac ini yang diumumkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sedikit sebanyak membantu perancangan kewangan ibu bapa terutama membabitkan pakaian sekolah.

Namun, dengan keadaan inflasi dan ekonomi yang tidak menentu, tahun ini bajet perbelanjaan keluarga terutama yang mempunyai anak-anak yang bersekolah sedikit mencabar.

Ini kerana ibu bapa juga mereka tidak hanya perlu memperuntukkan perbelanjaan bagi persekolahan anak tetapi juga persiapan Ramadan dan juga Aidilfitri pada Mac serta April ini.

Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Fatimah Salwa Abd Hadi berkata, situasi ini sudah pasti memerlukan kebijaksanaan ibu bapa dalam menguruskan kewangan isi rumah masing-masing.

Katanya, mereka sepatutnya cakna mengenai keperluan perbelanjaan besar yang perlu dihadapi di suku pertama tahun ini.

Justeru, 'simpanan bulanan bertujuan' perlu dilaksanakan sejak awal lagi bagi membolehkan semua keperluan isi rumah dipenuhi.

"Dalam hal ini, ibu bapa diseru mendahului 'keperluan' dalam berbelanja kelengkapan persekolahan berbanding 'kehendak.'

"Pakaian dan alatan yang masih elok hendaklah digunakan dan hanya membeli yang benar-benar perlu sahaja.

"Selain itu, ibu bapa juga harus bijak mencari kedai atau peniaga yang menawarkan harga kelengkapan sekolah yang berpatutan," katanya.

Seterusnya pemberian bonus RM2,000 yang akan diberikan pihak kerajaan pada penghujung Februari ini kata Dr Fatimah, ia wajar dimanfaatkan sebaiknya oleh ibu bapa yang bekerja di sektor awam.

"Dengan adanya bantuan kewangan itu, ia boleh digunakan untuk membeli kelengkapan persekolahan dan lain-lain.

"Begitu juga dengan pekerja sektor swasta yang pada kebiasaannya turut menerima bonus akhir atau awal tahun," katanya.

Dr Fatimah berkata, masyarakat juga wajar memainkan peranan bagi membantu anak-anak mendapatkan keperluan persekolahan untuk memulakan sesi yang baharu.

"Ketua-ketua kampung atau taman boleh mewujudkan 'Pusat Pengumpulan Persekolahan Terpakai.'

"Pakaian atau peralatan persekolahan yang masih elok boleh dikumpulkan di situ dan boleh diambil secara percuma bagi mereka yang memerlukan.

"Bagi ibu bapa yang beragama Islam dan memenuhi syarat, mereka boleh memohon bantuan zakat persekolahan daripada pengurusan zakat negeri atau tempat kerja masing-masing bagi memenuhi keperluan persekolahan anak-anak," katanya.

Kata Dr Fatimah lagi, peniaga kelengkapan sekolah juga diingatkan supaya tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya dengan tujuan mengaut keuntungan yang berlebihan.

"Pemberian diskaun dan meletakkan harga yang munasabah membantu ibu bapa mendapatkan kelengkapan persekolahan anak-anak dan memenuhi keperluan yang lain," katanya.

Sementara itu, ibu kepada dua cahaya mata, Zura Baharudin, 42, tidak menafikan perbelanjaan sekolah saban tahun semakin meningkat dan sangat membebankan.

Oleh itu, dia mengamalkan konsep pakai selagi boleh terutama kasut, beg sekolah dan pakaian.

"Saya bekerja sendiri dan pendapatan tidak menentu. Jadi, setiap tahun saya akan menyediakan sedikit peruntukan untuk perbelanjaan sekolah.

"Untuk pakaian sekolah dan kasut pula, biasanya saya tidak akan beli yang baharu sebaliknya gunakan yang lama.

"Jika perlu diganti terutama kasut, saya akan mencari kasut yang selesa dan tahan lama. Harganya mungkin tinggi sedikit tetapi masih mampu milik dan kalau ia boleh digunakan sepanjang tahun dan berbaloi," katanya.

Membuat perbandingan harga promosi untuk mendapatkan produk pada harga terbaik tidak kira secara dalam talian atau di pusat beli belah juga antara langkah diambil Zura.

"Perbandingan harga bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan malah dapat mengurangkan bajet yang diperuntukkan dalam pembelian barang-barang," katanya.

Rancang secara bijak

  • Senaraikan kelengkapan sekolah yang masih boleh digunakan dan perlu dibeli.

  • Jika anak anda baru memasuki tahun satu atau tingkatan satu, baju sekolah dan sukan wajib beli yang baharu.

  • Namun, jika anak masuk tahun dua, baju, kain, seluar andai masih elok dan tidak 'singkat,' ia boleh dipakai semula. Hanya perlu tambah satu pasang yang baru saja untuk tahun ini.

  • Usahakan untuk membeli keperluan persekolahan pada awal bulan bagi mengelak kesesakan.

  • Buat perbandingan harga.

  • Sediakan tabungan atau peruntukan khas untuk perbelanjaan keperluan persekolahan ketika penyediaan bajet keluarga.

  • Bagi yang ada kemahiran, boleh menjahit sendiri pakaian sekolah anak. Ibu bapa juga boleh menempah pakaian sekolah dengan kenalan rapat atau saudara mara yang tahu menjahit kerana harga biasanya boleh dirunding.

  • Beli keperluan sekolah secara dalam talian kerana ada peniaga menawarkan kos penghantaran secara percuma.

  • Untuk keperluan lain, gunakan semula andai masih elok. Tidak perlu semua kelengkapan dibeli baharu. Anda juga boleh beli setiap keperluan secara beransur-ansur.
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 7:00 AM