Mohd Hafiz diumum sebagai pemenang Pertandingan Memancing Putrajaya 2024 dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 anjuran PPj sempena dengan Sambutan 50 Tahun Wilayah Persekutuan di Sisiran Tasik Putrajaya, Presint 4. Foto Samadi Ahmad
Mohd Hafiz diumum sebagai pemenang Pertandingan Memancing Putrajaya 2024 dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 anjuran PPj sempena dengan Sambutan 50 Tahun Wilayah Persekutuan di Sisiran Tasik Putrajaya, Presint 4. Foto Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Putrajaya: Seorang kakitangan kerajaan tidak menyangka keputusan membatalkan hasrat pulang ke Kampung di Muar, Johor, tadi, bagi menyertai pertandingan memancing anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) membolehkannya memenangi RM7,000.

Mohd Hafiz Keliwon, 34, berasal dari Kampung Seri Tanjung, Dengkil berkata, dia membatalkan rancangan pulang ke kampung berikutan mahu menemani isterinya, Siti Faseha Zainudin, 34, yang bekerja.

Katanya, dia mendaftar pada saat akhir dan Alhamdulillah penyertaannya diterima penganjur.

"Hadiah kemenangan ini akan disimpan dan sebahagian daripadanya akan digunakan bagi membeli barangan keperluan selain meraikan rakan-rakan yang turut serta dalam pertandingan ini," katanya ketika ditemui tadi.

Pada pertandingan itu, Mohd Hafiz berjaya menaikkan ikan Rohu seberat 10.98 kilogram (kg) dan berjaya membawa pulang hadiah RM7,000.

Tempat ke dua dimenangi Mohd Iqbal yang berjaya memancing ikan Rohu seberat 10.225 kg sekaligus membawa pulang hadiah RM5,000

Manakala tempat ke tiga dimenangi Mohd Luqman Al Hakim yang menerima hadiah RM3,000.

Hadiah disampaikan Naib Presiden Jabatan Perancangan Bandar PPj,Shamsul Bahrin Rahmat.

Pertandingan Memancing Putrajaya 2024 dianjurkan PPj bersempena dengan Sambutan 50 Tahun Wilayah Persekutuan di Sisiran Tasik Putrajaya, Presint 4.

Mohd Hafiz berkata, penyertaan ini adalah kali kelima disertainya dan sebelum ini dia tidak pernah memenangi sebarang hadiah besar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 4:33 PM