AMINUDDIN (duduk kanan) bersama Omairi ketika majlis Pelepasan Ikan Pertandingan Memancing Putrajaya 2019. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
AMINUDDIN (duduk kanan) bersama Omairi ketika majlis Pelepasan Ikan Pertandingan Memancing Putrajaya 2019. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Samadi Ahmad


PERBADANAN Putrajaya (PPj) akan memantau masalah ancaman anjing liar di Putrajaya bagi menjamin keselamatan orang ramai.

Presidennya, Datuk Dr Aminudin Hassim berkata, selain menerima aduan daripada orang ramai, PPj turut mengadakan operasi berkala bagi menangkap anjing liar di kawasan ini.

Beliau berkata, selain anjing liar PPj turut mengadakan operasi kawalan populasi babi hutan yang dilaporkan keluar dari sekitar hutan kawasan pusat pentadbiran kerajaan persekutuan ini.

“Sehingga Februari, PPj menerima tiga aduan berkenan anjing liar, walaupun belum ada kes serangan anjing liar dilaporkan, pihak kami sentiasa bersedia bagi menjaga keselamatan orang ramai,” katanya kepada media pada Majlis Pelepasan Ikan sempena Pertandingan Memancing Putrajaya 2019 hari ini. Turut hadir, Naib Presiden Kanan PPj, Datuk Omairi Hashim.

Kenyataan Aminudin itu merujuk kepada keresahan Penduduk Taman Desa Pinggiran Putra, dekat Putrajaya yang menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) menangani masalah ancaman anjing liar di kawasan kediaman mereka.

Ia berikutan kehadiran haiwan itu semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini.

Sementara itu pada majlis terbabit, sebanyak 18 ikan temoleh, jelawat dan kelah dengan anggaran berat dua kilogram dilepaskan sebagai simbolik pertandingan.

Turut dilepaskan 300 ekor benih ikan temoleh dan kelah sumbangan Pusat Penyelidikan Perikanan, Glami Lemi dan Pusat Akuakultur Perlok, Pahang.

Pertandingan Memancing Putrajaya itu diadakan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019 yang akan berlangsung 9 Februari ini di Sisiran Tasik Presint 1 dan Taman Wawasan, Presint 2.

Pertandingan itu akan dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad.

Selain itu Aminudin berkata, pertandingan itu mensasarkan 2,000 penyertaan serta menawarkan hadiah berjumlah RM18,900 berupa wang tunai serta hamper dari tempat pertama sehingga 50.

Pertandingan ini terbuka kepada orang ramai dan bagi yang berminat boleh mendaftar dilaman sesawang www.ppj.gov.my dengan yuran penyertaan RM20.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 8:17 PM