Mohd Hazari Ramlan bergambar bersama wang tunai selepas menjadi Juara pertandingan Pertandingan Memancing Putrajaya sempena Hari Wilayah Persekutuan di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Hazari Ramlan bergambar bersama wang tunai selepas menjadi Juara pertandingan Pertandingan Memancing Putrajaya sempena Hari Wilayah Persekutuan di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Suhaila Shahrul Annuar


MODAL dikeluarkan hanya kira-kira RM50, tetapi hadiah diperolehi menjangkau RM7,000.

Itu rezeki buat seorang peserta, Mohd Hazari Ramlan, 33, yang diumumkan juara pada Program Memancing Putrajaya sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019 yang berlangsung di tasik Presint 1, Putrajaya, tadi.

Peserta terbabit berjaya memperolehi tempat pertama pada pertandingan itu selepas berjaya menaikkan ikan temoleh seberat 7.1 kilogram (kg) tepat jam 10.08 pagi.

“Kira-kira tujuh tahun saya ‘bercuti’ dari pertandingan memancing, hanya memancing suka-suka saja dan tidak masuk pertandingan. Ini adalah kali pertama selepas tujuh tahun.

“Saya juga tidak pernah memang dalam mana-mana pertandingan. Ini adalah kali pertama,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Majlis penyampaian hadiah Pertandingan Memancing Putrajaya sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019 disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Pertandingan Memancing Putrajaya adalah acara tahunan anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) dan disertai kira-kira 1,800 kaki pancing dari seluruh negara.

Katanya, beliau tiba di tempat memancing agak lewat kira-kira jam 8.30 pagi kerana tersesat mencari lokasi dan sebaik sampai, peserta lain sudah pun mula memancing.

“Saya kemudian mula memancing dan berjaya menaikkan ikan temoleh pada jam 10.08 pagi. Selepas itu saya teruskan memancing seperti biasa. Saya tak terfikir pun ikan pertama yang saya naikkan itu akan menjadi juara.

“Pada pertandingan ini, saya menggunakan satu joran saja bersama umpan buah sawit dan pelet,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Hazari yang berasal dari Serdang, Selangor berkata hadiah kemenangan berbentuk wang tunai itu akan diraikan bersama isterinya.

“Isteri saya banyak memberi sokongan terhadap hobi memancing ini malah saya sudah memaklumkan kepadanya. Apa yang dia nak nanti, saya belanjalah,” katanya.

Bagi tempat kedua dimenangi oleh Mohd Azrul Jamaludin, 37, selepas berjaya menaikkan ikan temoleh seberat 3.2 kg sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.

Seterusnya tempat ketiga dimenangi oleh Raziff Razab, 37, yang menaikkan ikan tenggalan seberat 3.2 kg serta membawa hadiah berbentuk wang tunai RM3,000.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 4:11 PM