ISMAIL bersama hadiah dimenangi Pertanding Memancing Hari Terbuka PPJ hari ini.Foto/FOTO Samadi Ahmad
ISMAIL bersama hadiah dimenangi Pertanding Memancing Hari Terbuka PPJ hari ini.Foto/FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Putrajaya: Ibarat rezeki datang bergolek apabila seorang pemandu Grab, Ismail Abdullah, 65, tidak hanya dinobatkan juara pertandingan memancing malah turut memenangi cabutan bertuah utama sempena Hari Terbuka Putrajaya 2023 di sini, tadi.

Ismail berjaya menaikkan ikan Rohu seberat 9.5 kilogram sekaligus menerima hadiah wang tunai RM7,000 dan sebuah motosikal Modenas Kriss.

Hadiah disampaikan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPJ),Datuk Fadlun Mak Ujud.

Menurut Ismail, dia tidak pernah menyertai pertandingan sebesar itu dan kebiasaannya hanya memancing di kolam berbayar pada hujung minggu.

Katanya, dia tidak menyangka memenangi hadiah sebesar itu dan wang tunai diterima akan disimpan untuk perbelanjaan di masa depan.

"Hadiah cabutan bertuah ini saya akan jual kepada individu yang berminat. Faktor usia tidak mengizinkan saya menunggang motosikal demi keselamatan," katanya.

Ismail berkata, dia mulanya berasa berat hati menyertai pertandingan itu kerana berasa kekok dengan jumlah pemancing terlalu ramai.

"Selepas dipujuk seorang rakan, saya bersetuju menyertai pertandingan itu. Saya hanya menggunakan umpan cacing dan tidak menyangka disambar ikan sebesar itu seterusnya diumumkan sebagai johan," katanya.

Seramai 1,700 peserta menyertai pertandingan dianjurkan PPJ menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM35,000 di Presint 2 hingga ke Sisiran Tasik Presint 4.

Penganjuran kali ini memasuki tahun ke 21 sejak ia dimulakan pada 2002.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2023 @ 5:39 PM