Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bergambar bersama pemenang-pememnang Pertndingan Memancing Putrajaya 2020 di Putrajaya. Turut kelihatan, Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr Aminuddin Hassim (dua kiri). Foto Mohd fadli Hamzah
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bergambar bersama pemenang-pememnang Pertndingan Memancing Putrajaya 2020 di Putrajaya. Turut kelihatan, Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr Aminuddin Hassim (dua kiri). Foto Mohd fadli Hamzah
Samadi Ahmad

“SAYA berdoa, jika menang pertandingan memancing ini, wang itu akan digunakan untuk membaiki kereta yang rosak. Tidak sangka hajat itu dimakbulkan Tuhan,” ujar Mohd Suhaimi Johari, 54.

Dia berjaya menggondol hadiah utama RM7,000 selepas muncul johan Pertandingan Memancing Putrajaya Kali ke 19 Sempena Sambutan Hari Wilayah 2020 di Putrajaya tadi.

Berbekal umpan dedak dan roti dicampur perisa buatan sendiri berharga RM50, Mohd Suhaimi berjaya

menaikkan ikan Tenggalan seberat 3.64 kilogram.

Dia berkata, kemenangan ini seperti rezeki terpijak kerana berjaya mengalahkan 2,370 peserta lain.

Katanya, dia tiba di lokasi memancing pada jam 6.30 pagi tadi selepas tersesat setengah jam di kawasan Putrajaya kerana jarang datang ke kawasan itu.

"Pada awalnya saya tidak berapa yakin akan berjaya. Namun selepas empat jam penunggu, akhirnya mata kail saya disambar ikan Tenggalan pada jam 11 pagi.

“Saya tidak berdepan masalah menaikkan ikan itu dan hanya mengambil kira-kira 10 minit untuk bertarung menaikkan ikan itu bagi mengelak terputus,” katanya.

Pertandingan anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) itu mengekalkan konsep 'Tangkap dan Lepas Mesra Alam' bagi menjaga proses perkembangan dan ekologi ikan di tasik itu..

Hadiah pemenang disampaikan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.

Turut hadir, Presiden PPj, Datuk Dr Aminuddin Hassim dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Wan Ahmad Uzair Wan Sulaiman.

Pada pertandingan itu, hadiah tempat kedua dimenangi Siti Zaleha Md Jamil yang membawa pulang RM 5,000 dan tempat ketiga pula hadiah RM3,000 dimenangi Mohammad Syamim Hussin selain 97 hadiah sagu hati.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 5:18 PM