HASIM (tujuh kiri) melepaskan ikan sempena Pertandingan Memancing Putrajaya 2017. FOTO Fariz Iswadi Ismail
HASIM (tujuh kiri) melepaskan ikan sempena Pertandingan Memancing Putrajaya 2017. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Hadiah keseluruhan bernilai lebih RM30,000 ditawarkan kepada kaki pancing pada Pertandingan Memancing sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2017 di Persisiran Tasik Putrajaya di Presint 2, 3 dan 4 di sini, Ahad ini.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Seri Hasim Ismail berkata, pertandingan yang menggunakan konsep tangkap dan lepas itu dijangka disertai kra-kira 2,000 kaki pancing dan pengunjung.

"Juara pertandingan akan membawa pulang hadiah utama iaitu wang tunai berjumlah RM7,000 manakala tempat kedua RM5,000 dan ketiga sebanyak RM3,000 selain hamper sehingga pemenang tempat ke-50.

"Malah, kita juga menyediakan 70 cabutan bertuah berupa barangan keperluan memancing, sebuah televisyen LED dan hadiah bonanza berupa motosikal Modenas Kriss kepada peserta bertuah,"katanya pada sidang media selepas majlis pelepasan ikan di sini, hari ini.

Hasim berkata, orang ramai yang berminat menyertai pertandingan ini boleh membuat pendaftaran mereka menerusi kaunter dan melalui laman sesawang www.ppj.gov.my dengan yuran penyertaan sebanyak RM20 bagi setiap joran.

Hasim berkata, sehingga kini, pihaknya sudah menerima 1,200 penyertaan secara dalam talian yang dibuka sejak 9 Januari lalu.

"Bagaimanapun, kami membuka peluang kepada orang ramai untuk mendaftar dengan yuran RM20 untuk satu joran sehingga pagi Ahad ini.

"Mereka boleh mendaftarkan di kaunter Pusat Khidmat Pelanggan, Kompleks PPj dan di Taman Seri Empangan Putrajaya, Presint 5 bermula 23 Januari lalu hingga esok, manakala kaunter pendaftaran yang beroperasi selama 24 jam akan dibuka di lokasi pertandingan bermula 12 tengah hari Sabtu ini," katanya.

Katanya, penganjuran memancing kali ini masih mengekalkan konsep yang sama iaitu tangkap dan lepas untuk mengekalkan keseimbangan populasi ikan di Tasik Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 11:03 PM