JABATAN Alam Sekitar (JAS) Kedah mengesan kegiatan melepaskan efluen atau sisa ternakan dilakukan sebuah ladang khinzir di Sungai Lembu, Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang, menyebabkan pencemaran di Sungai Kulim dan Sungai Air Merah. FOTO Ihsan JAS Kedah
JABATAN Alam Sekitar (JAS) Kedah mengesan kegiatan melepaskan efluen atau sisa ternakan dilakukan sebuah ladang khinzir di Sungai Lembu, Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang, menyebabkan pencemaran di Sungai Kulim dan Sungai Air Merah. FOTO Ihsan JAS Kedah
Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang mengarahkan penternak khinzir di perkampungan Sungai Lembu, di sini, yang dikesan melepaskan sisa ternakan hingga menyebabkan Sungai Kulim dan Sungai Air Merah di Kedah tercemar menghentikan operasi serta-merta.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol berkata, arahan itu dikeluarkan selepas semakan mendapati ladang itu gagal memperolehi lesen secara sah untuk beroperasi.

"Oleh itu, JPV sudah keluarkan arahan mengosongkan ladang selain meminta jadual pergerakan khinzir dari ladang terbabit ke rumah sembelih.

"Jumlah khinzir di ladang ini banyak dan perlu dilaksanakan secara berperingkat. Penternak juga didapati tidak mahu mengikut arahan yang ditetapkan.

"Maka, JPV akan mengambil tindakan selanjutnya mengikut enakmen sedia ada terhadap penternak berkenaan dan kompaun turut akan dikeluarkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung isu pelepasan sisa ternakan khinzir yang dibongkarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, semalam.

Katanya, Bahagian Kawal Selia Air (BKSA) juga akan membuat pemantauan di lokasi yang dilaporkan.

Sementara itu, Pengarah JAS Pulau Pinang Norazizi Adinan berkata, pihaknya berada di lokasi sejak semalam dan siasatan diteruskan hingga hari ini.

"Lima lokasi telah diambil sampel oleh JAS Pulau Pinang dan tindakan susulan termasuk perundangan akan dikenakan terhadap pemilik kandang khinzir berkenaan jika aduan berasas.

"Namun, JAS mempunyai kuasa terhad terhadap ladang ternakan kerana tiada kuasa khusus untuk pencemaran dari ladang ternakan," katanya.

Terdahulu, JAS Kedah mengesan berlaku kegiatan melepaskan sisa ternakan khinzir disyaki dari ladang terbabit sehingga menyebabkan pencemaran Sungai Kulim dan Sungai Air Merah.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan pencemaran itu Jumaat lalu, sebelum siasatan mengesan punca kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 3:52 PM