PENDUDUK Kampung Air Melintas Kecil, Tasek Gelugor Rahim Daud, menunjukkan Sungai Kereh yang tercemar akibat pencemaran najis babi yang mengalir dari ladang di Kampung Selamat yang jaraknya kira-kira lima kilometer dari Kampung Air Melintas Kecil. FOTO BERNAMA
PENDUDUK Kampung Air Melintas Kecil, Tasek Gelugor Rahim Daud, menunjukkan Sungai Kereh yang tercemar akibat pencemaran najis babi yang mengalir dari ladang di Kampung Selamat yang jaraknya kira-kira lima kilometer dari Kampung Air Melintas Kecil. FOTO BERNAMA
Nur Izzati Mohamad

Tasek Gelugor: Semua penternak babi di Kampung Selamat di sini, diminta bertanggungjawab dengan tidak melepaskan sisa najis haiwan itu secara terus ke dalam Sungai Kereh bagi menjaga keharmonian penduduk kampung yang sudah empat dekad terseksa dengan isu pencemaran.

Pengerusi Persatuan Penternak Babi Pulau Pinang Wong Soon Ping berkata, setiap penternak perlu sensitif supaya ia tidak mengganggu periuk nasi penternak lain yang mengikut peraturan serta undang-undang yang ditetapkan pihak berkuasa.

Katanya, beliau juga sudah banyak kali menasihati serta memberi tunjuk ajar kepada penternak tradisional untuk mengubah sistem ternakan kepada moden dalam usaha tidak mahu berlaku gangguan dan kacau bilau dalam perniagaan babi pada kemudian hari.

"Lihatlah isu yang berlaku ini, sebagai penternak bertanggungjawab, saya sendiri berasa sakit hati apabila melihat penternak lain tidak ikut pada undang-undang hingga mendapat banyak aduan.

"Saya tidak mahu kerana gangguan dan kacau bilau ini, ia akan menjejaskan perniagaan penternak babi yang lain.

"Oleh itu, saya mohon kepada semua penternak babi di Kampung Selamat, tolonglah bertanggungjawab dan mengekalkan keharmonian kampung dengan tidak membuat penduduk marah," katanya dihubungi Harian Metro hari ini.

Jelasnya, beliau difahamkan, ada 26 ladang ternakan babi di kawasan berkenaan yang kini dalam proses siasatan polis berikutan dipercayai melepaskan sisa najis secara terus ke Sungai Kereh.

"Hasil siasatan dijangka diperoleh minggu hadapan dan sekiranya penternak terbabit bakal didakwa serta didapati bersalah, maka bersedialah menerima hukuman yang sewajarnya," katanya.

Mengulas mengenai Enakmen Penternakan Babi 2016 dan Peraturan Penternakan Babi Negeri Pulau Pinang 2020 yang akan dikuatkuasakan esok (1 Januari 2021), Soon Ping berkata, beliau meletakkan harapan tinggi bahawa enakmen serta peraturan itu dapat membantu menyelesaikan permasalahan yang melanda sejak 40 tahun lalu.

"Selain itu, saya juga berharap enakmen serta peraturan ini dapat menambah baik sistem penternakan babi sekali gus mengurangkan masalah berkaitan pencemaran serta mengambil tindakan tegas terhadap penternak babi yang ingkar," katanya.

Enakmen serta peraturan yang akan dikuatkuasakan itu akan dilaksanakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP).

Laporan khas Harian Metro mendedahkan, pencemaran Sungai Kereh dipercayai berpunca daripada pelepasan najis babi dari ladang ternakan dekat Kampung Selamat yang terletak dalam lingkungan empat ke lima kilometer.

Lebih teruk, kawasan itu juga sering terbabit dengan banjir yang mengakibatkan kesan besar kepada kampung seperti Kampung Pokok Machang, Kampung Lubuk Meriam, Kampung Tonsun, Kampung Lahar Yooi, Kampung Sungai Korok dan Kampung Seberang Tok Dol.

Difahamkan, terdapat 77 kandang membabitkan 135,000 ekor babi di kawasan penternakan dari Tingkat Selamat 1 hingga 11 di Kampung Selamat yang dikatakan sudah beroperasi sejak 1980-an.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 3:09 PM