TINJAUAN air yang keluar dari kawasan ternakan kerbau yang dikatakan mencemari Sungai Beranang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
TINJAUAN air yang keluar dari kawasan ternakan kerbau yang dikatakan mencemari Sungai Beranang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah melakukan operasi bersepadu bersama agensi lain terhadap sebuah ladang kerbau susu berhampiran Kampung Sungai Kembung, Semenyih, susulan aduan pencemaran kumbahan dilepaskan ke Sungai Beranang.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Norlin Jaafar berkata, Ops Bersepadu Ladang Kerbau MIG Farm Sdn Bhd itu dilakukan 22 September lalu.

Menurutnya, Ops Bersepadu itu turut membabitkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Jabatan Veterinar Negeri Selangor (JPV), Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat dan Ahli Majlis Perbandaran Kajang.

"Hasil pemeriksaan mendapati, isu utama adalah pencemaran bau daripada operasi ladang kerbau yang terletak hanya kira-kira 500 meter dari kawasan perumahan.

"Tinjauan di kawasan sekitar mendapati terdapat juga kawasan perumahan baru sedang dibangunkan yang terletak hanya kira-kira 50 meter dari ladang kerbau.

"Kedua, pelepasan air kumbahan daripada kolam takungan najis. Pemasangan kolam takungan najis ini dinyatakan di dalam keperluan lesen yang dikeluarkan oleh LUAS di bawah klausa keperluan memasang sistem rawatan najis haiwan," katanya.

Beliau berkata, sistem itu tidak dirujuk kepada JAS kerana tiada keperluan untuk kelulusan JAS daripada segi perundangan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Menurutnya, ladang kerbau susu itu dilesenkan oleh LUAS di bawah Peraturan-Peraturan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2012 iaitu di bawah aktiviti penternakan selain babi.

"Tindakan susulan penyelesaian aduan boleh dirujuk kepada pihak LUAS (aspek kawalan pencemaran sungai) dan pihak MPKj (aspek bau yang menyebabkan kacauganggu kepada penduduk).

"JAS ingin memaklumkan kawalan pencemaran daripada operasi ladang ternakan haiwan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, dikawal melalui enakmen negeri masing-masing yang sudah sedia ada.

"JAS merakamkan penghargaan dan mengalukan-alukan maklumat yang tepat diberikan oleh orang awam bagi membolehkan JAS mengambil tindakan pantas dalam membanteras insiden pencemaran." katanya.

Aduan berkaitan aktiviti pencemaran alam sekitar boleh disalurkan dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2727, emel ke [email protected] dan melalui portal eaduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

Harian Metro hari ini melaporkan, penduduk di sekitar Sungai Beranang di Semenyih merayu pihak berkuasa membantu menyelesaikan masalah pencemaran bau dan sungai kotor dihadapi mereka, didakwa berpunca daripada pelepasan sisa ladang kerbau susu.

Pengarah MIG GROUP yang juga pemilik ladang kerbau susu MIG Farm Sdn Bhd, Abdul Gaffar Khan Amirullah pula dipetik berkata, pihaknya sudah mendapat kebenaran pihak berkuasa untuk melepaskan air najis kerbau susu itu ke sungai.

Beliau sudah mengusahakan ternakan kerbau susu sejak 20 tahun lalu dan kini menternak kira-kira 1,000 ekor kerbau susu di ladang berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 5:10 PM