JABATAN Alam Sekitar (JAS) Kedah mengesan kegiatan melepaskan efluen atau sisa ternakan dilakukan sebuah ladang khinzir di Sungai Lembu, Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang, menyebabkan pencemaran di Sungai Kulim dan Sungai Air Merah. FOTO Ihsan JAS
JABATAN Alam Sekitar (JAS) Kedah mengesan kegiatan melepaskan efluen atau sisa ternakan dilakukan sebuah ladang khinzir di Sungai Lembu, Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang, menyebabkan pencemaran di Sungai Kulim dan Sungai Air Merah. FOTO Ihsan JAS
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjalankan siasatan berhubung pencemaran di hulu Sungai Kulim dipercayai berpunca daripada aktiviti penternakan khinzir di negeri jiran.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, maklumat itu diterima melalui sistem Notification of Pollution Event (NPE) pada 11 pagi Jumaat lalu.

Menurutnya, maklumat bacaan bagi parameter ammoniakal nitrogen (NH3-N) yang direkodkan adalah 2.91152 mg/l dan melebihi had yang ditetapkan.

"Sepasukan pegawai penyiasat JAS Kedah (Cawangan Kulim) digerakkan bagi mengesan punca pencemaran itu pada 16 dan 17 Februari lalu.

"Siasatan di lapangan meliputi kawasan hulu Sungai Kulim mendapati aliran air berwarna hitam dari Sungai Air Merah yang terletak bersempadan Kedah dan Pulau Pinang kemudian memasuki Sungai Kulim, di sini.

"Pemantauan dron sepanjang Sungai Air Merah mengesan punca disyaki dari pelepasan efluen atau air sisa dari aktiviti penternakan khinzir di Sungai Lembu, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sharifah Zakiah berkata, pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan penternakan khinzir mendapati terdapat beberapa kolam yang melepaskan efluen ke Sungai Air Merah yang kemudiannya memasuki Sungai Kulim.

Menurutnya, jarak antara kawasan penternakan ke pertemuan Sungai Air Merah-Sungai Kulim adalah sejauh tiga kilometer.

Katanya, terdapat Loji Rawatan Air Toh Allang di Sungai Kulim, Pulau Pinang yang membekalkan air bagi Pulau Pinang iaitu kira-kira tujuh km dari pertemuan Sungai Kulim dan Sungai Air Merah.

"Hasil siasatan sudah dimaklumkan kepada JAS Pulau Pinang untuk diambil tindakan oleh pihak berkuasa Pulau Pinang seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang dan Badan Kawal Selia Air Pulau Pinang.

"Semua pihak dinasihatkan tidak mencemarkan sungai dan pencemaran sungai boleh menyebabkan loji air ditutup dan menjejaskan bekalan air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 11:51 AM