Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang mendedahkan sisa buangan yang dikesan mencemari dua sungai di Kedah berpunca daripada ladang itik di Sungai Lembu, di sini.

Ia berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri dan Majlis Bandaraya Seberang Perai ( MBSP), hari ini.

Pengerusi Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol berkata, pihaknya sebelum ini menjalankan siasatan ke atas ladang babi yang disyaki berkenaan.

Bagaimanapun katanya, siasatan mendapati pencemaran yang berlaku di dua sungai di Kedah bukan berpunca dari ladang babi terbabit, sebaliknya disebabkan ternakan itik yang terletak bersebelahan.

"Kita mendapati memang ada direct discharge (pelepasan terus) dari ladang itik terbabit yang terus (masuk) ke Sungai Air Merah dan juga menerusi Sungai Kulim," katanya kepada pemberita, di sini.

Fahmi berkata,walaupun keadaan itu mencemarkan alam sekitar, namun orang ramai tidak perlu bimbang kerana ia tidak memberi kesan kepada sumber air yang dirawat di Pulau Pinang dan Kedah.

"Harap tenang semua, ianya (isu ini) tidak memberi kesan secara langsung kepada air yang dirawat oleh PBA (Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang) yang (loji air terawat) terletak jauh 14 kilometer (km) dari lokasi ini.

"Pelepasan sisa ini didapati masuk ke Sungai Air Merah dan hanya melintasi garis sempadan Kedah dan Pulau Pinang dan masuk balik ke Pulau Pinang," katanya.

Sementara itu, Pengarah JPV Pulau Pinang Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata, siasatan mendapati ladang itik terbabit sudah beroperasi sejak 15 tahun lalu dan tidak memperolehi lesen menternak.

"Kita (JPV) akan mengambil tindakan yang seterusnya (bagi mengatasi isu ini). Ada kemungkinan pemilik kena pindahkan itik mereka yang jumlahnya sebanyak 100,000 ekor.

"Apa paling penting, dia (pemilik) perlu betulkan (sistem) kumbahan dan tidak meneruskan aktiviti 'direct discharge' (pelepasan buangan secara terus) ke dalam parit atau sungai," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan JAS Kedah mengesan berlaku kegiatan melepaskan sisa dari ladang babi di Sungai Lembu yang menyebabkan pencemaran Sungai Kulim dan Sungai Air Merah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 4:09 PM
FAHMI Zainol (kanan) diiringi Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang, Dr Saira Banu melihat air sisa kumbahan ketika melakukan pemeriksaan di ladang ternakan itik di perkampungan Sungai Lembu. FOTO Danial Saad
FAHMI Zainol (kanan) diiringi Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang, Dr Saira Banu melihat air sisa kumbahan ketika melakukan pemeriksaan di ladang ternakan itik di perkampungan Sungai Lembu. FOTO Danial Saad