Jasri Kasim.
Jasri Kasim.
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Golongan miskin dan miskin tegar di Kelantan mencatatkan peningkatan lebih 78,000 Ketua Isi Rumah (KIR) berbanding 68,000 sebelum ini.

Pengarah Jabatan Pembangunan Negeri Kelantan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Jasri Kasim berkata, ia diukur berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang ditetapkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 31 Januari lalu.

Katanya, dengan menggunapakai PGK terkini, jumlah KIR miskin di Kelantan adalah 64,235 manakala miskin tegar pula seramai 14,111 dengan jumlah keseluruhan 78,346.

"Manakala penduduk yang kita kenal pasti berada di bawah kategori miskin tegar di Kelantan didapati meningkat daripada 9,000 kepada 14,000.

"Peningkatan angka berkenaan menjadi cabaran kepada pihak kami dalam usaha untuk menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini.

"Pertumbuhan pembangunan mungkin mengambil masa yang lama bagi meningkatkan serta mengimbangi taraf hidup rakyat di negeri ini," katanya ketika sidang media selepas Majlis Makan Malam Bersama Media Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan ICU JPM di sini, malam tadi.

Jasri berkata, dalam masa sama, pihaknya juga sudah membentangkan Kertas Strategik Menoktahkan Miskin Tegar di Kelantan Tahun 2024 pada Mesyuarat Jawatankuasa Focus Group Negeri Kelantan.

"Terdapat empat strategi utama yang digariskan dan ia membabitkan semua agensi pemberi bantuan sama ada di peringkat persekutuan ataupun negeri.

"Kami mempunyai senarai mereka yang dikategorikan miskin tegar dan akan mengambil pendekatan bertemu secara individu.

"Pada masa sama, pihak kami juga akan memberi perhatian mengenai keperluan mereka untuk keluar daripada kepompong kemiskinan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 1:48 PM