Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) bergambar bersama sebahagian pelajar pada Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar Cemerlang Orang Asli dan SMA Negeri Pahang SPM 2023 di Wisma Sri Pahang. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) bergambar bersama sebahagian pelajar pada Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar Cemerlang Orang Asli dan SMA Negeri Pahang SPM 2023 di Wisma Sri Pahang. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Asrol Awang


Kuantan: Kerajaan Pahang berjaya menoktahkan miskin tegar di negeri itu semalam, kata Menteri Besar, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau dimaklumkan perkara itu pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) hari ini, oleh Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob dan Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Pahang, Datuk Fadzilla Salleh.

"Bermula semalam, Pahang berjaya menoktahkan miskin tegar di negeri ini membabitkan 1,946 Ketua Isi Rumah (KIR) sebelum ini.

"Miskin tegar ialah pendapatan RM1,204 sebulan dan mereka (golongan miskin tegar) berjaya melonjakkan pendapatan lebih tinggi dan terkeluar kategori miskin tegar.

"Kita tahu kemiskinan sangat subjektif dan hari ini mungkin kita noktahkan tetapi tidak mustahil akan ada miskin tegar ini pada masa depan.

"Tetapi kerajaan negeri akan memantau dan berusaha membantu untuk memastikan miskin tegar dinoktahkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar Cemerlang Orang Asli dan SMA Pahang SPM 2023 di Dewan SUK, Wisma Sri Pahang, di sini.

Seramai 99 pelajar Orang Asli dan Sekolah Menengah Agama (SMA) Pahang menerima antara RM500 dan RM1,100 seorang membabitkan pelajar yang mendapat 5A hingga 11 A iaitu 1A akan menerima RM100.

Mengulas lanjut pencapaian itu, Wan Rosdy berkata, kejayaan itu hasil daripada usaha berterusan yang dilaksanakan kerajaan negeri untuk kesejahteraanrakyat Pahang.

"Ini (pencapaian) tidak berlaku secara kebetulan dan sebagainya, sebaliknya hasil usaha termasuk program Bantuan Prihatin Pahang (BPP)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 9:28 PM