ONN Hafiz. FOTO Facebook Onn Hafiz Ghazi
ONN Hafiz. FOTO Facebook Onn Hafiz Ghazi
Omar Ahmad

Johor Bahru: Jumlah penduduk miskin tegar di negeri ini mencatatkan penurunan 1,108 Ketua Isi Rumah (KIR) pada Mac ini, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pada Mac lalu, jumlah golongan miskin tegar mencatat 3,270 KIR berbanding 4,378 KIR bagi tempoh sama pada 2022.

Kata beliau, Kerajaan Negeri Johor dan Persekutuan sudah memperuntukkan RM254.3 juta untuk Program-Program Pembasmian Miskin Tegar sepanjang tahun ini.

"Hal ini menunjukkan keseriusan serta tekad kerajaan dalam menyelesaikan isu kemiskinan di Johor.

"Beberapa langkah turut dibincangkan bagi mencari satu mekanisme baharu yang lebih kondusif dan terancang, seperti membabitkan seluruh jabatan, agensi dan GLC di Johor dalam program keluarga angkat, menyediakan peluang pekerjaan serta memberikan bantuan-bantuan bersasar.

"Semoga golongan rentan di negeri ini terus terbela, supaya hasrat kerajaan dalam menoktahkan sifar miskin tegar menjelang 2027 akan tercapai. Insya-Allah," katanya pada hantaran di media sosialnya di sini, hari ini.

Pada masa sama, Onn Hafiz berharap, jabatan dan agensi berkaitan dapat terus bersama-sama turun padang dalam memastikan segala perancangan dibuat mengikut pelan yang sudah disusun rapi, supaya seluruh rakyat di Johor mendapat manfaat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 11:08 AM