Datuk Seri Hajiji Noor pada sidang DUN Sabah, hari ini.
Datuk Seri Hajiji Noor pada sidang DUN Sabah, hari ini.
Oleh Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Pemilikan kenderaan dan haiwan ternakan dimasukkan sebagai antara 13 indikator tambahan bagi menentukan golongan miskin tegar di Sabah.

Baki 11 lagi indikator ialah pemilikan rumah, pekerjaan, pemilikan tanah, kemampuan membayar perkhidmatan asas, kecacatan fizikal atau mental, penyakit kritikal, status pendaftaran kelahiran dan tahap pendidikan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, 13 indikator itu digariskan kerajaan negeri melalui Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) sebagai tambahan kepada definisi sedia kemiskinan.

"Jadi, secara asasnya, golongan miskin tegar adalah mereka yang tidak mempunyai akses kepada kemudahan dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan sendiri berdasarkan kepada indikator itu.

"Indikator itu ialah tidak memiliki rumah sendiri, tiada pemilikan tanah untuk diusahakan, masih menggunakan peralatan tradisional dalam kehidupan seharian serta akses kepada pendidikan," katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Alias Sani (Warisan-Sekong) berkaitan langkah kerajaan dalam usaha membawa Sabah keluar daripada kedudukan tercorot negeri miskin di Malaysia.

Hajiji berkata, kerajaan negeri komited menangani isu kemiskinan di negeri ini melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0: 2021 - 2025 di bawah teras M: Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat.

"Perkara ini juga adalah selari dengan hasrat Kerajaan Persekutuan dalam menoktahkan miskin tegar di Malaysia.

"Secara prinsipnya, pengukuran kadar kemiskinan yang diguna pakai adalah berdasarkan nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) untuk kemiskinan mutlak dan PGK Makanan untuk mengukur kemiskinan tegar," katanya.

Katanya, bermula tahun ini, pelaksanaan program kemiskinan akan menggunakan PGK 2022 yang menyaksikan peningkatan daripada RM2,537 kepada RM2,742, manakala PGK Makanan meningkat daripada RM1,179 kepada RM1,218.

Secara keseluruhan, katanya, ketika ini hanya 12,555 ketua isi rumah (KIR) berstatus miskin tegar yang ada di Sabah berdasarkan data terkini pada 31 Mac lalu.

"Namun demikian, perubahan status akan berlaku dengan perubahan bilangan ahli isi rumah, perubahan pendapatan, bantuan yang diterima atau ditamatkan serta perubahan maklumat lain seperti meninggal dunia atau berpindah ke negeri lain," katanya.

Hajiji berkata, bagi penyelarasan program kemiskinan tegar di negeri ini, kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal Menoktahkan Miskin Tegar.

Langkah itu, katanya, ialah bagi menyelaras dan memantau Program Menoktahkan Miskin Tegar di Sabah menjelang akhir tahun ini atau pada 2025.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 3:24 PM