MEGAT Azlani  (tengah) menyampaikan sumbangan wang tunai dan kelengkapan persekolahan pada program 'Back To School' anjuran Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Melaka dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) di Ayer Keroh. FOTO BERNAMA
MEGAT Azlani (tengah) menyampaikan sumbangan wang tunai dan kelengkapan persekolahan pada program 'Back To School' anjuran Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Melaka dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) di Ayer Keroh. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Melaka: Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Melaka melaksanakan program Usaha Kasih yang diperkenalkan sejak pertengahan tahun lalu bagi membasmi miskin tegar di negeri itu.

Pengarahnya Megat Azlani Megat Ramli berkata, seramai 45 peserta yang berdaftar di dalam sistem eKasih terpilih menerima bantuan peralatan bagi memulakan perniagaan untuk menjana pendapatan di bawah program berkenaan.

"Antara bantuan diberikan seperti ketuhar, peralatan menggunting rambut dan sebagainya termasuk latihan serta kursus turut diberikan supaya mereka mampu berdikari seterusnya keluar daripada kepompong kemiskinan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program 'Back To School' anjuran PPN Melaka dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), di sini, semalam.

Seramai 75 pelajar dari 25 keluarga kurang berkemampuan berdaftar dalam sistem eKasih menerima sumbangan set kelengkapan persekolahan seperti pakaian, kasut, beg dan wang tunai RM100 pada prorgam 'Back to School' itu.

Megat Azlani berkata, pihaknya berhasrat untuk memperluaskan program Usaha Kasih itu sekiranya ia berjaya membuahkan hasil selain menjadi pemangkin program-program lain yang akan dilaksanakan untuk membasmi kemiskinan di negeri ini.

Beliau berkata, sehingga 8 Februari, sebanyak 1,442 ketua isi rumah (KIR) yang berstatus miskin tegar direkodkan di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2019 di Melaka.

Katanya, PPN Melaka juga memantau data-data kemiskinan melalui sistem eKasih yang menjadi rujukan utama agensi-agensi pemberi bantuan untuk menyalurkan sumbangan bagi mereka yang layak dan menepati syarat yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 3:30 PM