ANTARA sambungan paip haram yang dikesan dilakukan penghuni setinggan dekat Kampung Rampayan, Jalan Sulaman di Kota Kinabalu. FOTO Facebook Jabatan Air Negeri Sabah (JANS)
ANTARA sambungan paip haram yang dikesan dilakukan penghuni setinggan dekat Kampung Rampayan, Jalan Sulaman di Kota Kinabalu. FOTO Facebook Jabatan Air Negeri Sabah (JANS)
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengesan taktik penduduk di kawasan setinggan di negeri ini mengalirkan arus elektrik pada sambungan haram paip air bagi mengelak dipotong penguat kuasa.

Akibat perbuatan itu, anggota penguat kuasa JANS berdepan ancaman terkena renjatan elektrik yang boleh membawa maut ketika melaksanakan operasi pemotongan sambungan paip haram di kawasan setinggan terbabit.

Mendedahkan perkara itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata ada penguat kuasa JANS terkena renjatan elektrik daripada kabel hidup yang sengaja dipasang bersama sambungan paip haram.

Katanya, atas sebab itu pelaksanaan operasi pemotongan sambungan paip haram bagi menghentikan kecurian air di kawasan setinggan di negeri ini terpaksa dilakukan secara berhati-hati dengan memotong punca sambungannya di paip utama milik JANS.

Beliau berkata, cadangan orang ramai untuk mengesan pelaku penyambungan paip haram dengan menyusuri batang 'polypipe' hingga ke rumah setinggan amat berisiko disebabkan faktor keselamatan itu.

"Ada yang kata kenapa kita tidak ikut saja paip haram itu hingga ke rumah pelakunya. Namun, risikonya tinggi kerana pernah penguat kuasa JANS terkena renjatan elektrik ketika menarik batang paip haram itu.

"Jadi kita terpaksa potong saja sambungan haram itu dan buat pemantauan berkala supaya ia tidak dipasang semula," katanya ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke premis perniagaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Pekan Tanjung Aru dan Pekan Sembulan di sini, hari ini.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai operasi pemotongan penyambungan paip haram yang dilaksanakan JANS di beberapa kawasan setinggan di Sepanggar, dekat sini, baru-baru ini.

Operasi itu antara langkah bagi mengurangkan gangguan bekalan air yang dialami pengguna di sekitar Sepanggar atau utara Kota Kinabalu, termasuk di Universiti Malaysia Sabah (UMS) ketika ini.

Pada awal Januari lalu, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mendedahkan kira-kira 12,000 rumah setinggan ada di Sepanggar ketika ini dengan jumlah air yang dicuri penghuninya mencecah 18 juta liter sehari (MLD).

Mengulas lanjut, Shahelmey berkata penguat kuasa JANS baru-baru ini melaksanakan operasi pemotongan paip haram di kawasan setinggan dekat Kampung Rampayan, Jalan Sulaman di sini dan berhampiran kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Kuala Manggatal.

"Operasi ini dilaksanakan bagi mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) yang dibuat berterusan secara berkala. Kita juga memohon orang ramai yang nampak ada kegiatan penyambungan paip haram supaya melaporkan kepada pihak JANS untuk diambil tindakan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebagai alternatif kepada penghuni setinggan mendapatkan bekalan air, pihak JANS memperkenalkan Skim Vendor dengan melantik ketua di setiap koloni setinggan untuk menjual air secara sah.

Menerusi pendekatan itu, katanya pihak JANS akan menyediakan meter pukal di koloni setinggan untuk membekal air di tangki yang disediakan sebelum dijual kepada penghuni setinggan melalui ketua di kawasan terbabit.

"Mereka (penghuni setinggan) perlukan air, sebab itu mereka melakukan penyambungan paip haram kerana tidak dapat memohon meter sah disebabkan status setinggan.

"Jadi, apa yang kita akan lakukan selepas ini ialah buat skim vendor, kita letak meter pukal dan lantik satu ketua dalam koloni setinggan untuk bekal air supaya mereka (penghuni) dapat beli air dari vendor itu.

"Cara ini dapat mengurangkan sambungan haram dan kejadian paip bocor kerana kalau paip haram bocor tiada yang peduli. Apabila ini dapat dilaksanakan, air dari loji rawatan air (LRA) dapat disalur dengan lebih lancar ke tangki utama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 2:25 PM