GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kegiatan mencuri elektrik atau melakukan penyambungan secara haram di Sabah bukan hanya dilakukan penghuni setinggan, malah dikesan turut membabitkan pengusaha kilang dan hotel.

Mendedahkan perkara itu, Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset)

Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Ir Norhizami Abu Hasan berkata, perbuatan berbahaya dan menyalahi undang-undang itu dilakukan semata-mata mahu mengelak membayar bil tinggi setiap bulan.

Katanya, kegiatan mencuri elektrik kebanyakannya dilakukan dengan membuat penyambungan terus ke punca elektrik milik SESB seperti di talian dan pencawang.

Katanya, SESB turut mengesan kegiatan menjual bekalan elektrik menggunakan penyambungan dari rumah ke rumah bagi mendapatkan keuntungan tanpa mempedulikan kesan buruknya terhadap keselamatan.

"Tinjauan di kawasan setinggan pula mendapati kegiatan mencuri elektrik dilakukan dengan 'memancing' kabel di talian SESB sebelum disambungkan ke rumah di kawasan terbabit.

"Selain berdepan bahaya renjatan elektrik, kegiatan ini adalah satu kesalahan yang boleh didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 37 (3) Akta Bekalan Elektrik (Pindaan) 2015 kerana mencuri elektrik atau Seksyen 37 (14) akta sama kerana usikan ke atas meter elektrik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, SESB pernah mengesan kegiatan mencuri elektrik yang membabitkan pengguna komersial khususnya premis yang menggunakan banyak tenaga elektrik menerusi operasi pemeriksaan yang dilaksanakan di seluruh Sabah dan Labuan.

Sementara itu, mengulas mengenai satu kes renjatan elektrik yang membabitkan seorang lelaki di Jalan Keleto, Inanam, kelmarin, Norhizami mengesahkan kemalangan itu berpunca daripada kegiatan penyambungan haram elektrik.

"SESB menerima aduan daripada pengguna memaklumkan seorang lelaki terkena renjatan elektrik.

"Susulan itu, kita menghantar pasukan teknikal ke lokasi untuk pemeriksaan lanjut dan hasil pemeriksaan mendapati mangsa terkena renjatan elektrik berpunca daripada penyambungan haram yang dilakukan di lokasi itu.

"Siasatan lanjut mendapati ada banyak wayar sambungan haram dan SESB mengambil tindakan segera mematikan punca bekalan serta memutuskan wayar sambungan haram terbabit," katanya.

Beliau berkata, kegiatan yang tidak bertanggungjawab ini juga menyebabkan SESB mengalami banyak kerugian.

Norhizami turut menyifatkan kegiatan tidak bertanggungjawab yang dilakukan segelintir individu itu ibarat 'menyerah nyawa' kerana pelakunya boleh terkena renjatan ketika melakukan pintasan atau memotong kabel elektrik.

Katanya, kesan buruk kegiatan itu bukan hanya ditanggung pelakunya, malah turut menjejaskan pengguna lain yang sering berdepan gangguan bekalan berpunca daripada aktiviti mencuri elektrik atau melakukan penyambungan secara haram.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 12:04 PM