UMS, gambar fail.
UMS, gambar fail.
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kewujudan setinggan besar dianggarkan mencecah 12,000 rumah di Sepanggar, antara penyumbang kepada masalah air yang berlaku di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, perkara itu berdasarkan apa yang dimaklumkan kerajaan negeri kepada UMS.

Beliau berkata, koloni setinggan menimbulkan masalah bekalan air berikutan perbuatan penyambungan haram yang mengakibatkan kira-kira 18 juta liter sehari (MLD) dicuri penghuni penempatan itu.

"Selain setinggan, pertumbuhan pesat taman perumahan antara Kota Kinabalu dan Tuaran serta pengoperasian kilang besar yang meningkat di Taman Perindustrian Kota Kinabalu turut menyumbang kepada peningkatan permintaan air.

"Pada masa sama, pengubahan paip air utama di sepanjang jajaran Lebuhraya Pan Borneo antara Kota Kinabalu dan Tuaran juga menyebabkan gangguan air yang teruk," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau mengulas isu kekurangan bekalan air yang dihadapi UMS ketika ini, hingga menjejaskan rutin harian warganya, terutama penuntut yang tinggal di kolej kediaman.

Beliau berkata, kerajaan negeri berjanji untuk menyelesaikan isu bekalan air itu secara pukal tetapi memerlukan masa untuk diselesaikan.

Mengenai peruntukan RM3 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lalu, Abdul Rahman berkata, ia tertakluk kepada kaedah perolehan kerajaan.

"Duit itu dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Sabah, bukan UMS," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2024 @ 7:11 PM