Pihak berkuasa merobohkan rumah setinggan di Bakau Likas, Kota Kinabalu. FOTO IHSAN DBKK
Pihak berkuasa merobohkan rumah setinggan di Bakau Likas, Kota Kinabalu. FOTO IHSAN DBKK
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Sehingga semalam, sejumlah 56 rumah setinggan didiami warga asing di Bakau Likas, di sini sudah dirobohkan dalam Op Roboh oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Operasi itu yang bermula sejak 23 November lalu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT); Jabatan Air Negeri Sabah (JANS); Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Suruhanjaya Tenaga (ST).

Datuk Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, sebelum operasi itu diadakan, kawasan terbabit sudah dibanci oleh penguat kuasa DBKK pada Februari lalu.

Katanya, hasil bancian didapati terdapat 267 rumah yang mana 56 daripadanya setinggan yang didiami oleh warga asing.

"Hasil daripada bancian itu, notis arahan meroboh dan mengalihkan struktur mengikut Undang-Undang Kecil (Bangunan) DBKK 1951 sudah disampaikan kepada penghuni 56 rumah berkenaan pada 22 Mac lalu iaitu lapan bulan yang lalu," katanya di sini, semalam.

Noorliza berkata, dalam operasi itu, pihak PDRM membantu membuat kawalan keselamatan, manakala JTU membantu operasi merobohkan struktur haram.

"Pihak JANS dan SESB pula mengambil tindakan memotong penyambungan haram air dan elektrik.

"Operasi ini akan diteruskan di kawasan-kawasan setinggan yang lain di bandar raya ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 5:18 PM