GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Lebih 30,000 pengguna berdaftar di sekitar utara bandar raya ini, khususnya kawasan Sepanggar dijadual berdepan catuan bekalan air sehingga pertengahan tahun depan.

Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Ir Edward Lingkapo berkata, catuan itu yang dilaksanakan sejak beberapa bulan lalu terpaksa dilakukan berikutan kekurangan bekalan yang disalurkan dari dua Loji Rawatan Air (LRA) di Tuaran.

Beliau berkata, catuan bekalan air perlu diteruskan sehingga kerja menambah kapasiti pengeluaran di dua LRA terbabit iaitu Telibong 1 dan Telibong 2 dijadualkan siap pada Jun tahun depan.

"Kita kekurangan antara 10 juta liter sehari (MLD) hingga 12 MLD untuk kira-kira 40,000 penduduk, jadi kita perlu buat catuan," katanya pada sidang media khas isu air, di sini, hari ini.

Katanya, ketika ini, LRA Telibong 1 dan Telibong 2, masing-masing mempunyai keupayaan mengeluarkan 74 MLD dan 90 MLD dengan jumlah keseluruhan 164 MLD, namun kekurangan kira-kira 30 MLD berbanding keperluan sebenar pengguna melebihi 190 MLD.

Edward berkata, catuan dijangka dihentikan selepas kapasiti kedua-dua LRA itu ditingkatkan sebanyak 15 MLD kepada 179 MLD mulai Jun tahun depan selepas kerja menambah keupayaan sebanyak lima MLD di LRA Telibong 1 dan 10 MLD di LRA Telibong 2 siap.

Beliau berkata, gangguan bekalan itu belum termasuk faktor kerosakan pam seperti berlaku di LRA Telibong 1 ketika ini yang menyebabkan beberapa kawasan perumahan terputus bekalan air dan terpaksa bergantung kepada penghantaran air menggunakan lori.

Berikutan situasi itu, Edward meminta pengguna di sekitar Sepanggar supaya berjimat dan mengurangkan penggunaan air sepanjang tempoh catuan bagi memastikan semua kawasan mendapat bekalan sama rata.

Katanya, JANS menyarankan agar penggunaan air dikurangkan kepada 180 liter sehari bagi setiap individu berbanding kira-kira 250 liter seorang sehari dalam keadaan biasa.

"Kalau semua pengguna dapat melaksanakan perkara ini, kita dapat memastikan bekalan sentiasa ada di semua kawasan sepanjang tempoh catuan," katanya.

Sementara itu, beliau turut meminta kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemimpin akar umbi di semua kawasan supaya membantu JANS menangani isu kecurian air yang menjadi antara penyumbang utama masalah air tidak berhasil (NRW) di Sepanggar.

Beliau berkata, ketika ini JANS kehilangan antara enam hingga lapan MLD sehari disebabkan kecurian air di kawasan setinggan sekitar Sepanggar selain terpaksa membelanjakan hampir setengah juta setahun untuk menyelesaikan masalah itu, namun masih berulang.

"Operasi pemotongan sambungan haram paip air di semua kawasan setinggan memang dilakukan, namun masalahnya siang kita potong, malam sudah disambung balik oleh penghuni setinggan.

"Malangnya, kita tidak boleh bertindak terhadap penghuni setinggan terbabit kerana di luar bidang kuasa JANS.

"Sebab itu kita minta pihak berkuasa lain khususnya PBT, Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), polis dan Jabatan Imigresen untuk membantu kita.

"Isu kecurian air perlu diselesaikan bukan saja untuk menghentikan kerugian NRW, malah disebabkan sambungan haram paip dilakukan penghuni setinggan, pengguna berdaftar yang lain menghadapi gangguan bekalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 7:41 PM