FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Samadi Ahmad


Putrajaya: Keputusan undian 700 peniaga tapak bazar Ramadan di pusat pentadbiran kerajaan di sini, akan diumum minggu depan.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, pihaknya menyediakan lima tapak perniagaan dan setakat ini sudah menerima lebih 700 permohonan dan tapak terbesar adalah di Presint 3 membabitkan 200 petak.

Menurutnya, empat lagi tapak bazar Ramadan adalah di Presint 11, Presint 9, Presint 16 dan Presint 14.

Katanya, bazar Ramadan di Presint 14 PPj akan diserahkan pengurusannya kepada Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) untuk memilih peniaga dari kalangan warga Putrajaya.

"Ia bertujuan memberi peluang kepada penduduk untuk menambah pendapatan pada bulan Ramadan ini," katanya pada Majlis Perasmian Kids Fiest 2024 di Padang Semarak,Taman Wetland di sini, semalam.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Wilayah, Datuk Dr Zaliha Mustafa.

Kids Fiest 2024 dianjurkan KRU Arena bertujuan mewujudkan kesedaran berhubung pemuliharaan alam sekitar dan rasa sayang terhadap haiwan kepada orang ramai.

Fadlun berkata, PPj akan terus mengekalkan status tapak bazar Ramadan Presint 3 antara yang terbaik untuk dikunjungi pelancong dari luar dan dalam negara.

Katanya, undian akan diadakan pada minggu depan termasuk mengeluarkan surat tawaran kepada peniaga.

Dalam perkembangan lain, Fadlun berkata, PPj dalam peringkat kajian untuk membangunkan sebuah 'petting zoo' di kawasan berhampiran Taman Wetland dengan kerjasama KRU Arena yang dijangka direalisasikan pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 3:15 PM