Bazar Ramadan. FOTO ARKIB NSTP
Bazar Ramadan. FOTO ARKIB NSTP
Samadi Ahmad


Putrajaya: Penganjuran Bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan pada tahun ini akan dilaksanakan seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, kementerian akan membuka seluas-luasnya lesen Bazar Ramadan kepada individu yang ingin menjalankan perniagaan pada tahun ini.

"Ia bagi mengelak peniaga memanipulasi lesen dan tindakan akan diambil kepada individu yang menjual lesen dan melanggar undang-undang.

"Dalam keadaan Covid-19 ini, ramai ingin mencari pendapatan melalui perniagaan dan kita akan beri kepada yang betul-betul ingin menjalankan perniagaan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di Agrobazar dan Karnival Food Truck di Tapak Hot Spot, Presint 2, hari ini.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Seri Jalaludin Alias; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Naib Presiden Kanan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud.

Karnival itu diadakan bermula semalam hingga Rabu ini menghimpunkan 100 peniaga dalam jualan secara terus antaranya menjual buah-buahan, tanaman kontan dan sayur-sayuran.

Pada majlis sama, Shahidan turut menanam pokok ke-50,000 jenis Sakura di Sisiran Tasik Putrajaya sempena Program Penghijauan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 8:04 PM