BAZAR Ramadan di Presint 3. FOTO BERNAMA
BAZAR Ramadan di Presint 3. FOTO BERNAMA
Samadi Ahmad

Putrajaya: Perbadanan Putrajaya (PPj) melaksanakan sistem pas bernombor untuk mengawal jumlah pengunjung di bazar berkenaan sekali gus memastikan prosedur operasi standard (SOP) bazar Ramadan terus dipatuhi.

Tinjauan di bazar Ramadan di Presint 3 di sini, mendapati pengunjung berbaris di tiga pintu disediakan luar bazar seawal jam 4.30 petang dan memakai pelitup muka serta mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera sebelum dibenarkan masuk ke bazar.

Pengarah Bahagian Perlesenan PPj, Jeffri Mustapa berkata, pihaknya mengeluarkan sebanyak 1,500 pas kepada pengunjung dalam satu-satu masa yang dikawal anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Penguat kuasa PPj.

Menurutnya, penganjuran bazar ini masih menggunakan SOP lama dan sebanyak 160 gerai disediakan bermula hari ini sehingga 2 Mei dengan bayaran lesen RM850 sepanjang Ramadan.

Katanya, peniaga dinasihatkan mematuhi syarat ditetapkan PPj termasuk memaparkan lesen perniagaan di bahagian hadapan gerai setiap masa bagi memudahkan pihaknya membuat pemeriksaan.

"Penguat kuasa akan menjalankan pemeriksaan setiap hari dan sekiranya didapati ada peniaga yang menjual lesen kepada pihak lain, ia akan ditamatkan serta merta," katanya kepada pemberita di tapak Bazar Ramadan Presint 3 di sini hari ini.

Bazar Ramadan Presint 3 dibuka bermula jam 3 petang sehingga jam 8 malam, menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa.

Jeffri berkata, PPj menempatkan 100 petugas di bazar itu membabitkan kakitangan bahagian pelesenan, penguat kuasa, penguat kuasa alam sekitar PPj dan RELA.

Beliau berkata, pihaknya turut menyediakan kawasan sampah berpusat dan peniaga boleh meletakkan sampah sarap selepas tamat berniaga yang akan dipungut setiap hari oleh syarikat Alam Flora.

Katanya, sebagai menjaga kawasan bazar itu sentiasa bersih dan menghindarkan dari kehadiran lalat pihaknya turut menjalankan pembersihan setiap hari selepas tamat perniagaan.

"Kita juga meneruskan kempen penjagaan alam sekitar di bazar ini dengan menyarankan peniaga mengumpul minyak terpakai yang digunakan untuk dijual bagi menjana pendapatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2022 @ 6:29 PM