Dua pegawai pelesenan PPj (dua dari kiri) memberi penerangan kepada peniaga yang membuka jualan tanpa kebenaran. FOTO Samadi Ahmad
Dua pegawai pelesenan PPj (dua dari kiri) memberi penerangan kepada peniaga yang membuka jualan tanpa kebenaran. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kumpulan peniaga bunga api dan mercun di sini, mendakwa mengalami kerugian apabila diberikan kawasan tidak strategik untuk berniaga oleh Perbadanan Putrajaya (PPj).

Jurucakap kumpulan itu, Wan Mohd Zulhaziq Hafizi Zahari, 30, mendakwa PPj bersikap pilih kasih dalam memberi lesen dan mengutamakan kakitangan PPj di kawasan strategik dan tumpuan ramai.

Susulan itu peniaga sepertinya nekad membuka premis jualan di kawasan tidak dibenarkan daripada terus menanggung kerugian.

"Kami hanya diberikan lesen berniaga di tiga lokasi iaitu di Pasar Presint 8, bazar Presint 9 dan di kawasan perniagaan Presint 15 yang kurang dikunjungi pelanggan.

"Ini pastinya memberikan kesan apabila kami sudah mengeluarkan modal melebihi RM50,000 termasuk mendapatkan lesen dan permit polis untuk berniaga.

"Sebelum ini kami pernah memohon untuk berniaga di luar kawasan Festival Ramadan Putrajaya (FRP) namun tidak diluluskan atas alasan permohonan sudah ditutup serta ruang jualan terhad," katanya.

Sementara itu Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Perbadanan Putrajaya (PPj), Norzita Abdul Razak berkata, penentuan lokasi dan jumlah tapak bagi penjualan mercun di sesuatu lokasi di pusat pentadbiran kerajaan di sini berdasarkan nasihat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

Menurutnya, ia sebagai langkah mengawal jumlah bilangan peniaga di sesebuah lokasi.

"Setiap permohonan jualan mercun yang diterima perlu melalui proses ditetapkan bagi mendapatkan permit daripada IPD untuk diberikan lesen," katanya.

Katanya, pihaknya juga tidak memilih kasih dan setiap permohonan perlu mengikut prosedur ditetapkan sebelum dibenarkan berniaga.

"Prosedur ini menjadi kebiasaan bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) lain dalam mengawal bilangan dan kelulusan dikeluarkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 4:08 PM