Fadlun ketika ditemui media pada Program Bubur Lambuk Komuniti Putrajaya di Kompleks Kejiranan Presint 9, Putrajaya. FOTO AIZUDDIN SAAD
Fadlun ketika ditemui media pada Program Bubur Lambuk Komuniti Putrajaya di Kompleks Kejiranan Presint 9, Putrajaya. FOTO AIZUDDIN SAAD
Samadi Ahmad


Putrajaya: Perbadanan Putrajaya (PPj) akan memastikan pusat pentadbiran negara bebas gelandangan mahupun pengemis sepanjang Ramadan ini.

Presidennya Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, setakat empat hari umat Islam berpuasa, pihaknya belum menerima laporan berkait isu pengemis dan gelandangan di bazar Ramadan.

"PPj menyerahkan kepada pihak polis untuk memantau isu berkenaan dengan dibantu penguat kuasa PPj dan agensi di bawahnya.

"Seramai 90 petugas termasuk penguat kuasa memantau di semua Bazar Ramadan termasuk di Anjung Syawal bagi mengekang aktiviti (mengemis) ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Bubur Lambuk Komuniti di Presint 9, di sini, hari ini.

Fadlun berkata, sekiranya terdapat pihak masjid atau surau yang ingin mengutip derma, ia juga perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada pihak berwajib.

"PPj dan polis tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan sekiranya terdapat individu yang menjalankan aktiviti ini," katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan ada kalangan pelancong yang masuk ke negara ini menggunakan pasport antarabangsa secara sah bertukar menjadi peminta sedekah untuk mengambil kesempatan di atas kemurahan hati rakyat Malaysia ketika Ramadan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2024 @ 2:03 PM