LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Lelaki dipercayai bergelar Datuk Seri yang didakwa menipu warga asing bagi mendapatkan pas residen Malaysia didapati mempunyai beberapa rekod jenayah termasuk kes penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima laporan dibuat mangsa berhubung kes penipuan itu pada Disember lalu.

"Siasatan berhubung kes itu yang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan penipuan masih di peringkat awal.

"Hasil semakan dilakukan mendapati suspek berusia 64 tahun itu mempunyai beberapa rekod jenayah termasuk dikehendaki bagi kes penipuan di Kuantan, Pahang.

"Pada masa sama, pihak polis juga sedang menjalankan siasatan berhubung kesahihan gelaran 'Datuk Seri' yang digunakan oleh suspek," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau menyeru orang ramai yang turut menjadi mangsa penipuan suspek sama supaya tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, semua prosedur permohonan dilakukan berteraskan undang-undang dan orang ramai diminta sentiasa cakna terhadap individu mengaku sebagai ejen atau mempunyai 'orang dalam'.

"Ingin saya tegaskan kepada orang ramai bahawa tidak ada jalan mudah untuk apa-apa prosedur berkaitan kewarganegaraan, kependudukan atau keberadaan.

"Permohonan perlu melalui saluran tertentu dan sekiranya ada membabitkan bayaran, ia perlu melalui kaedah yang jelas dan betul.

"Justeru, jangan ambil risiko dan jangan sesekali mudah percaya walaupun datangnya daripada individu mempunyai gelaran kerana ia (gelaran) mungkin palsu," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan lelaki didakwa bergelar 'Datuk Seri' disyaki menipu warga asing dengan menjanjikan mereka mendapat pas residen Malaysia jika membayar sejumlah wang kepadanya.

Perkara itu didedahkan pesara swasta, Siew Kam Seong, 64, yang memaklumkan beliau menjadi perantara kepada warga asing untuk mendapatkan pas residen daripada lelaki terbabit.

Menurutnya, dia mengenali 'Datuk Seri' itu sejak 10 tahun lalu dan yakin padanya apabila dia memaklumkan ada kenalan rapat dengan pegawai berpangkat tinggi dalam Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 12:28 PM