YEW (tengah) bersama Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya KL, Leong Ooi Kuan (kanan) dan Siew mengadakan sidang media mengenai penipuan lelaki bergelar ‘Datuk Seri’. FOTO Amirudin Sahib
YEW (tengah) bersama Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya KL, Leong Ooi Kuan (kanan) dan Siew mengadakan sidang media mengenai penipuan lelaki bergelar ‘Datuk Seri’. FOTO Amirudin Sahib
Suharmin Yusuf dan Suhanna Iskandar


Kuala Lumpur: Lelaki didakwa bergelar 'Datuk Seri' disyaki menipu warga asing dengan menjanjikan mereka mendapat pas residen Malaysia jika membayar sejumlah wang kepadanya.

Pesara swasta, Siew Kam Seong, 64, berkata, dia menjadi perantara kepada warga asing untuk mendapatkan pas residen daripada lelaki itu.

Menurutnya, dia mengenali 'Datuk Seri' itu sejak 10 tahun lalu dan yakin padanya apabila dia memaklumkan ada kenalan rapat dengan pegawai berpangkat tinggi dalam Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

"Dia meminta saya mendapatkan beberapa warga asing dan dengan membayar sejumlah wang, mereka boleh mendapatkan pas residen.

"Disebabkan itu, saya mendapatkan dua warga Nepal dan pada April 2023, mereka membayar RM50,000 yang mana saya terus memasukkannya ke bank milik lelaki itu.

"Tapi selepas sebulan, permohonan itu masih belum selesai dengan alasan warga asing itu mempunyai hutang cukai dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)," katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (Dun) Teratai, di sini, hari ini.

Siew berkata, sehingga sekarang, hanya RM3,000 sudah dikembalikan padanya.

"Saya sudah membuat laporan polis pada Disember 2023 lalu namun tiada apa-apa perkembangan siasatan sehingga hari ini," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Negeri (Adun) Teratai, Yew Jia Haur berkata, pihaknya sudah mengusulkan perkara itu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapatkan status terkini siasatan.

"Kami juga sudah menulis surat kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bertarikh 11 Januari lalu berkenaan status siasatan polis.

"Selepas mendapat respons, kami akan mengambil tindakan lanjut untuk membantu mangsa mendapatkan semula wang daripada lelaki terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 4:08 PM