Asrol Awang


Kuantan: Seramai 20 individu termasuk lima warga asing ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes penipuan pelaburan tidak wujud dalam talian di sebuah premis di Genting Highlands, Bentong pada 5 Oktober lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, penahanan 20 lelaki berusia antara 17 dan 31 tahun itu hasil pemantauan Bahagian Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Bentong.

Katanya, siasatan awal mendapati semua suspek masing-masing 15 warga tempatan dan lima warga asing yang masuk menggunakan pas lawatan sosial itu menyasarkan mangsa dari Singapura.

"Hasil serbuan itu, sebanyak 19 unit komputer riba, 69 unit telefon bimbit, satu pasport dan satu kad akses serta kunci dirampas.

"Modus operandi bermula apabila sindiket berkenalan dengan mangsa secara rawak menggunakan aplikasi cari jodoh.

"Selepas itu sindiket akan menawarkan pelaburan tidak wujud untuk memperdayakan mangsa sebelum diminta memuat turun aplikasi pelaburan yang diberikan untuk urusan selanjutnya.

"Sindiket dipercayai beroperasi selama tiga bulan sejak Ogos lalu dan ada antara suspek terbabit dengan rekod jenayah dalam kes penipuan dan dadah.

"Setakat ini, siasatan masih dijalankan membabitkan kerugian yang dialami mangsa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini hari ini.

Katanya, semua suspek ditahan reman sehingga 12 Oktober ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Dalam kes ini, polis mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai untuk memastikan tidak menjadi mangsa penipuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 12:18 PM