Foto hiasan
Foto hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan, semalam, selepas disyaki menipu dengan bermodalkan barangan yang didakwa barang rampasan pihak kastam pada harga murah ditahan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dua wanita dan seorang lelaki berusia antara 37 hingga 46 tahun itu ditahan di Batu 9 Cheras, Selangor, semalam.

Katanya, tangkapan itu dilakukan susulan laporan dibuat seorang wanita pada Disember lalu yang mendakwa kerugian RM25,990 bagi membeli telefon bimbit, komputer riba dan kereta dijual oleh suspek pada harga murah.

"Hasil soal siasat awal dilakukan mendapati suspek utama iaitu wanita berusia 46 tahun mengaku telefon bimbit, komputer riba dan dua kereta dijanjikan untuk dijual dengan pengadu adalah tidak wujud.

"Malah, wanita berkenaan juga mengaku wang yang dibayar oleh pengadu kepadanya digunakan untuk kegunaan peribadi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ramli berkata, dua lagi individu ditahan adalah rakan kongsi dalam perniagaan sewa kereta dan mendakwa tidak mengetahui kegiatan suspek utama menipu pengadu.

"Semakan dilakukan mendapati suspek utama mempunyai rekod jenayah membabitkan kes penipuan sejak 2013 hingga 2020 di beberapa negeri termasuk Kelantan, Johor dan Selangor.

"Ketiga-tiga suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga 7 Januari nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang wanita tidak serik meskipun sudah dituduh di mahkamah apabila dikesan menipu beberapa kenalannya bermodalkan helah menjual barangan daripada pihak kastam pada harga murah tidak masuk akal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 3:35 PM