DATUK Abdul Majid Mohd Ali menunjukkan barangan yang dirampas. FOTO ihsan polis
DATUK Abdul Majid Mohd Ali menunjukkan barangan yang dirampas. FOTO ihsan polis
Nuraliawati Sabri


Melaka: Jual barangan elektrik berjenama terkemuka yang tidak wujud melalui platform e-dagang menyebabkan ribuan mangsa tertipu.

Itu antara kegiatan sindiket penipuan pembelian dalam talian rentas negara didalangi 10 lelaki termasuk dua warga China.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, kesemua suspek ditahan hasil serbuan di sebuah rumah banglo dua tingkat di Klebang di sini, yang disyaki dijadikan markas operasi sindiket yang aktif menipu sejak Jun lalu.

Beliau berkata, kesemua suspek berusia 19 hingga 36 tahun itu ditahan dalam serbuan jam 2.30 petang semalam.

"Ketika diserbu suspek sedang melayari laman sesawang iklan barangan, yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti penipuan pembelian dalam talian berkenaan.

"Kesemua suspek diupah dengan gaji RM2,500 hingga RM3,000 sebulan, untuk melayari platform e-dagang dari China itu dengan membuat tanda suka dan kongsi bertujuan menaikkan 'rating' barangan elektrik yang diiklan untuk mempengaruhi pelanggan.

"Siasatan juga mendapati sindiket ini menyasarkan pembeli dari luar negara. Ramai pelanggan yang terpengaruh dengan iklan itu akan membuat pembayaran namun barangan yang dibeli itu tidak sampai ke tangan mereka. Kerugian dianggarkan antara RM150,000 hingga RM200,000," katanya tadi.

Mengulas lanjut Abdul Majid berkata, polis turut merampas pelbagai barang kes dipercayai digunakan dalam aktiviti penipuan itu membabitkan dua set komputer, enam komputer riba, lima telefon bimbit, satu pasport dan tiga buku nota mengandungi senarai nama pelanggan.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

"Lapan warga tempatan berkenaan direman sebelum dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu siasatan selesai.

"Dua lelaki warga asing yang ditangkap itu pula direman 14 hari untuk siasatan lanjut atas kesalahan masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah, selain kesalahan tinggal di negara ini melepasi tamat tempoh," katanya.

Katanya kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tinggal di Malaysia setelah pas tamat dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 3:58 PM