SAIFUL Sharma mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret kerana menggunakan gelaran Datuk Seri yang tidak diiktiraf. FOTO Bernama.
SAIFUL Sharma mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret kerana menggunakan gelaran Datuk Seri yang tidak diiktiraf. FOTO Bernama.
BERNAMA

Ipoh: Pengerusi sebuah persatuan didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan gelaran 'Datuk Seri' yang tidak diiktiraf.

Saiful Sharma Abdullah, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menggunakan dan menikmati gelaran berkenaan pada surat ketika memohon kelulusan untuk menganjurkan Majlis Ulang Tahun Ke-9 Persatuan Pasukan Keselamatan Rakyat Setia Berjasa Sukarela Negeri Perak

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh pada 31 Okt lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3 (2) Akta Kesalahan Yang Berhubung Dengan Anugerah 2017 (Akta 787) dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirah Nabihan Shahrir manakala tertuduh diwakili peguam Teeban Kumar.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Feb depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mengikut fakta kes, pengerusi persatuan itu disyaki menyalahguna Jata Persekutuan dan menggunakan gelaran 'Datuk Seri' yang diragui ketika polis meneliti surat permohonan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2023 @ 2:32 PM