Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Tiga sekawan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar lebih 26 kilogram (kg) dadah jenis ketamin membabitkan nilai RM1.5 juta dua minggu lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh iaitu M Thinesh, 21, M Vikneswaran, 25, dan M Thinesh Kumar, 26, namun ketiga-tiga mereka faham sewaktu pertuduhan dibacakan jurubahasa secara serentak dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret S Punitha.

Berdasarkan pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh secara bersama mengedar dadah jenis ketamin seberat 26,178 gram (g) di tepi jalan susur keluar stesen minyak Petron, Jalan Gopeng, Kampung Gunung Rapat, di sini, jam 9.15 malam, 20 September lalu.

Perbuatan itu satu kesalahan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan ia memperuntukkan hukuman mati atau dipenjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati hendaklah juga dihukum dengan minimum 12 kali sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayu Zakaria manakala tertuduh diwakili peguam, R R Segaran.

Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan tarikh 26 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu hasil laporan kimia.

Pada 22 September lalu, media melaporkan polis menahan lima lelaki susulan rampasan dadah bernilai RM1.5 juta di kawasan Gunung Rapat selepas sindiket itu dipercayai mula aktif tidak sampai sebulan sebelum itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 11:33 AM
TIGA rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan mengedar lebih 26kg ketamin membabitkan nilai RM1.5 juta dua minggu lalu. FOTO L Manimaran
TIGA rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan mengedar lebih 26kg ketamin membabitkan nilai RM1.5 juta dua minggu lalu. FOTO L Manimaran