Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Lelaki warga Pakistan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dakwaan menggunakan kekerasan bagi mencabul kehormatan seorang wanita warga Perancis, Isnin lalu.

Tertuduh, Muhammad Akhtar Ramzan, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Melayu di hadapan Majistret, S Punitha.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita, Luna Eve Waquet dengan maksud untuk mencabul kehormatannya.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah tempat penginapan di alamat Spot On City Hostel, No. 41, Medan Perhentian Medan Kidd, di sini, jam 11 malam 17 Julai lalu.

Oleh itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, atau denda, atau sebatan, atau mana-mana daripada dua hukuman itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hidayu Zakaria manakala tertuduh diwakili peguam, R Rajasegaran.

Nurul Hidayu tidak menawarkan jaminan berikutan tertuduh adalah warga asing.

Mahkamah menetapkan tarikh 17 Ogos depan untuk sebutan semula kes selain membenarkan permohonan pendakwaan agar tiada jaminan dikenakan terhadap tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 12:43 PM
MUHAMMAD Akhtar Ramzan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ipoh atas dakwaan menggunakan kekerasan bagi mencabul kehormatan seorang wanita warga Perancis. FOTO L. Manmaran
MUHAMMAD Akhtar Ramzan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ipoh atas dakwaan menggunakan kekerasan bagi mencabul kehormatan seorang wanita warga Perancis. FOTO L. Manmaran