CHAN Chee Seng dihadap ke mahkamah atas tuduhan menggunakan gelaran Datuk palsu. FOTO L Manimaran.
CHAN Chee Seng dihadap ke mahkamah atas tuduhan menggunakan gelaran Datuk palsu. FOTO L Manimaran.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menggunakan gelaran Datuk palsu ketika berurusan di mahkamah, dua tahun lalu.

Chan Chee Seng, 59, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret S Punitha dan meminta dibicarakan.

Lelaki itu dituduh dengan sengaja menggunakan gelaran dan panggilan Datuk pada afidavit sokongan yang dikemukakan kepada mahkamah dengan nombor kes AA-2NCvC-6-01/2022.

Perbuatan dilakukan di bangunan Mahkamah Tinggi Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, di sini pada 17 Januari 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3(2) Akta Kesalahan Yang Berhubung Dengan Anugerah 2017 (Akta 787) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 3(3) akta sama, yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tiga tahun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayu Zakaria, manakala tertuduh diwakili peguam S R Muniandy.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,200 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan semula kes pada 4 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 12:33 PM