Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Pegawai kanan polis dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh pelajar Tingkatan 5, pada 15 Disember lalu.

Tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, yang berpangkat Deputi Superintendan dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah mengangguk faham selepas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Kinta, di sini, antara 12.05 tengah hari hingga 12.40 tengah hari 15 Disember lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, atau penjara minimum 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah juga dihukum dengan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Pertuduhan dikendalikan oleh lapan timbalan pendakwa raya yang diketuai oleh Azlina Rasdi, Khairul Azreem Mamat, Afzainizam Abdul Aziz, Saiful Akmal Mod Said, Nasrul Hadi Abdul Ghani, J S Geetha, Low Qin Hui dan Wan Azimah Yaacob.

Tertuduh diwakili peguam, Jacky Loi Yap Loong.

Keluarga terdekat mangsa termasuk abang, Zarul Fitri Muhd Zamrie, 29, selain bapa saudara, Abdul Razak Judin, 48, turut berada di dalam kamar mahkamah sama ketika pertuduhan dibacakan ke atas Mohd Nazri.

Mahkamah menetapkan 7 Februari bagi sebutan semula kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 10:05 AM