Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Lelaki yang disyaki menikam isterinya sehingga mati dalam kejadian di Kampung Simee, di sini, Rabu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh.

Tertuduh, Wong Choon Foo, 56, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan mengenainya dibacakan dalam Bahasa Melayu di hadapan Majistret S Punitha.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang juga seorang penjaja gerai makanan berikutan kes bunuh berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Yew Mee, Foong, 48, di sebuah rumah di Laluan Simee 11, Kampung Simee, di sini antara jam 8.30 hingga 9 pagi 12 Jun lalu.

Perbuatan itu adalah kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman mati, atau jika tidak dihukum mati hendaklah dipenjarakan minimum 30 tahun namun tidak melebihi 40 tahun dan juga minimum 12 kali sebatan.

Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Vatchira Wong Rui Fern, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawarkan, dan mahkamah menetapkan 19 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia.

Media sebelum ini melaporkan suspek ditahan di lokasi kejadian kurang sejam selepas polis menerima maklumat orang awam mengenai wanita berusia 48 tahun yang didapati dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di rumah itu.

Mayat Yew iaitu isteri kepada Choon Foo ditemukan di kawasan garaj rumah itu dengan kesan pukulan di kepala, selain kesan tikaman sebanyak tiga kali pada dadanya.

Kejadian itu dikatakan berpunca susulan pertengkaran tercetus antara suspek dan mangsa, dengan kejadian itu dikatakan turut disaksikan anak perempuan pasangan itu yang berusia 12 tahun.

TERTUDUH didakwa di Mahkamah Majistret, hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya. FOTO L Manimaran
TERTUDUH didakwa di Mahkamah Majistret, hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya. FOTO L Manimaran

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 11:44 AM