LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Lembaga Pelabuhan Klang diarah membantu semua pihak yang terjejas susulan ketetapan kerajaan tidak membenarkan syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM berlabuh di pelabuhan Malaysia.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata ia membabitkan syarikat logistik, pengimport, pengeksport dan perkapalan dalam menguruskan kargo masing-masing yang terkesan akibat keputusan terbabit.

"Selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, syarikat perkapalan Israel Zim tidak akan dibenarkan untuk berlabuh di pelabuhan Malaysia berkuat kuasa serta merta.

"Lembaga Pelabuhan Klang sudah diarahkan untuk membantu syarikat logistik, pengimport, pengeksport dan perkapalan dalam menguruskan kargo masing-masing yang terjejas," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan memaklumkan syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, menggunakan bendera negara itu atau kapal dalam perjalanan menuju ke sana, dilarang berlabuh atau memuatkan kargo di mana-mana pelabuhan Malaysia, berkuat kuasa serta merta.

Anwar berkata, sekatan itu sebagai tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengetepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian serta kekejaman berterusan ke atas rakyat Palestin.

Loke berkata, selaras dengan keputusan terbabit, kapal milik syarikat perkapalan ZIM, tidak akan dibenarkan berlabuh di Pelabuhan Klang seperti yang dijadualkan pada Selasa depan.

Berita berkaitan:

Kapal Israel dilarang berlabuh di Malaysia

Isyarat jelas Malaysia tak bersekongkol bantu ekonomi Israel

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 5:08 PM