WESTPORT Pelabuhan Klang, gambar hiasan. FOTO NSTP
WESTPORT Pelabuhan Klang, gambar hiasan. FOTO NSTP
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM yang dilarang berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia, perlu menguruskan sendiri 4,000 kontena kendalian mereka yang terkandas di Pelabuhan Klang susulan ketetapan diambil kerajaan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke menegaskan syarikat terbabit bertanggungjawab ke atas semua kontena transit yang perlu dibawa keluar itu.

"Setakat ini ada 4,000 kontena yang masih terkandas di Pelabuhan Klang, khususnya di Westport yang patut dikeluarkan melalui syarikat perkapalan ini dan 4,000 kontena adalah kontena transshipment yang patut mereka keluarkan.

"Jadi apabila kita ambil tindakan (larangan) ini, maka syarikat perkapalan ini perlu menghubungi syarikat perkapalan lain supaya mengangkut keluar kontena ini dalam masa terdekat untuk ke destinasi seterusnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian Perjanjian Pajakan antara MRT Corp dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan bagi Jajaran MRT Laluan Kajang dan Putrajaya di sini, hari ini.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan keputusan kerajaan mengenai sekatan ke atas syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, kapal menggunakan bendera negara itu atau dalam perjalanan menuju ke sana, berlabuh atau memuatkan kargo di mana-mana pelabuhan Malaysia.

Keputusan itu yang berkuat kuasa serta-merta sebagai tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengetepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian serta kekejaman berterusan ke atas rakyat Palestin.

Ia turut membabitkan kapal milik syarikat ZIM berpangkalan di Israel yang dijadual berlabuh di Westports, Pelabuhan Klang pada 26 Disember ini dengan Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera mengenakan larangan kekal terhadap syarikat itu.

Ditanya sama ada syarikat perkapalan itu wajib menguruskan kontena terbabit kerana larangan diputuskan kerajaan Malaysia, Loke berkata, mereka perlu bertanggungjawab.

"Dalam tempoh terdekat (mereka perlu keluarkan kontena) tetapi kita juga beri sedikit masa sebab ia bukannya di satu tempat, 4,000 kontena ini bukan (menuju) satu destinasi atau satu pelabuhan sahaja.

"Jadi bukannya satu syarikat perkapalan boleh selesaikan semua 4,000 sekali gus. Dalam perkara ini kita beri sedikit masa supaya kontena ini (dapat) dikeluarkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 5:36 PM