GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
Hakim Mahari


Kuala Lumpur: Pejuang Hamas memuji keputusan Malaysia melarang kapal yang mempamerkan bendera Israel berlabuh di Malaysia.

Pemimpin kumpulan Hamas, Osama Hamdan melahirkan penghargaan dengan pendirian kukuh kerajaan Malaysia dalam menyokong rakyat Palestin ketika konflik yang masih berterusan sejak 7 Oktober lalu.

Beliau menggesa negara Arab dan Islam lain untuk mengambil langkah yang sama untuk menunjukkan solidariti dengan Palestin.

"Kami menghargai dan berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana menghalang kapal dengan bendera Israel berlabuh di pelabuhan mereka dan tidak membenarkan mana-mana kapal menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.

"Kami menyeru negara Arab dan Islam untuk mengamalkan pendirian sama menyokong rakyat kami di Gaza, yang mempertahankan kebebasan dan kemerdekaan mereka, menghormati perintah antarabangsa," katanya dalam sidang media.

Hamdan turut menyeru kesatuan buruh global untuk menolak sebarang urusan dengan kapal Israel, menyamai pendirian kerajaan Malaysia.

"Kami menggesa kesatuan pekerja di seluruh dunia untuk tidak berurusan dengan kapal Israel, tidak membekalkan barang atau bahan bakar serta makanan.

"Kami berdoa untuk roh para syuhada kami, penyembuhan kepada yang sakit dan cedera serta segera memperoleh kemenangan," katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, menggunakan bendera negara itu atau kapal dalam perjalanan menuju ke sana, dilarang berlabuh atau memuatkan kargo di mana-mana pelabuhan Malaysia, berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, sekatan itu sebagai tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengetepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian serta kekejaman berterusan ke atas rakyat Palestin.

Lembaga Pelabuhan Klang turut diarah membantu semua pihak terjejas susulan ketetapan kerajaan tidak membenarkan syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM berlabuh di pelabuhan Malaysia.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata ia membabitkan syarikat logistik, pengimport, pengeksport dan perkapalan dalam menguruskan kargo masing-masing yang terkesan akibat keputusan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 12:23 PM