Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menyampaikan Amanat pada Majlis Erat Kasih Madani dan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan 2024 di kementeriannya hari ini. FOTO BERNAMA
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menyampaikan Amanat pada Majlis Erat Kasih Madani dan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan 2024 di kementeriannya hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Menteri Pengangkutan Anthony Loke, hari ini, menjelaskan, kapal yang didakwa milik syarikat Israel dan menggunakan pelabuhan di negara ini sebenarnya sudah bertukar hak milik kepada sebuah syarikat lain berpangkalan di Hong Kong.

Beliau menegaskan, pihaknya sudah membuat pemeriksaan serta siasatan dan mendapati kapal terbabit didaftarkan di bawah 'ZIM Rotterdam' sebelum ini.

"Tetapi mereka sudah bertukar tangan dan kapal itu sekarang namanya ialah 'MV Rotterdam' dan pemilikan kapal itu bukan ZIM Rotterdam tetapi di bawah syarikat 'GoldStar Line'.

"Dasar kita ialah, kita tetapkan dengan tegas syarikat perkapalan ZIM Rotterdam tidak dibenarkan berlabuh di Malaysia, tetapi apabila kapal itu telah bertukar tangan milik syarikat lain, kita tak boleh menghalang (menggunakan pelabuhan dalam negara) kerana kita negara perdagangan," katanya kepada media selepas Majlis Erat Kasih Madani dan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan, di sini, hari ini.

Sebelum ini, laporan sebuah portal tempatan mendakwa, kapal kargo milik syarikat Israel dikesan berlepas dari Malaysia minggu lalu, kurang lima bulan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan semua kapal milik rejim Zionis itu dilarang menggunakan pelabuhan di negara ini sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin.

Pada 20 Disember lalu, Kerajaan Malaysia memutuskan untuk tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel berlabuh di negara ini berkuat kuasa serta-merta.

Pada masa sama, Anwar dilapor berkata, kerajaan juga mengenakan larangan kepada mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 3:26 PM