KEADAAN di sekitar Gaza. FOTO AFP
KEADAAN di sekitar Gaza. FOTO AFP

Kuala Lumpur: "Kekejaman tidak boleh diterima akal apabila wanita dan kanak-kanak yang sedang beratur dalam barisan untuk mendapatkan bekalan air minuman berhampiran Hospital Nasser di selatan Semenanjung Gaza turut dibom tentera Israel semalam," ujar penduduk Palestin Gaza, Hani Mahmoud.

Menurutnya, kejadian itu amat menyedihkan apabila mayat kanak-kanak dan wanita tercampak bergelimpangan di tepi jalan manakala darah mangsa memenuhi serata kawasan serangan.

"Apa dosa mereka hingga dijadikan sasaran serangan berdarah ini. Mereka bukan ancaman sebaliknya hanya mahu mendapatkan air minuman dan keperluan asas.

"Malah serangan turut menyebabkan kemusnahan besar di Masjid Abdul Karim al-Shaer di Qizan Abu Rashwan, selatan bandar Khan Yunis. Lebih banyak serangan udara dilakukan di Shujayea dan tentera Israel menempatkan semula kereta kebal dan kenderaan berperisai di timur Gaza.

"Kemudahan awam seperti sekolah, hospital, klinik, kedai dan pasar dimusnahkan sepenuhnya. Pembunuhan genosid Zionis ini tidak akan berhenti sehingga semua penduduk Palestin di Gaza mati dan pupus terutama generasi kanak-kanak," ujarnya.

Berkongsi maklumat terbaru melalui aplikasi Telegram, beliau memaklumkan seramai hampir 18,000 penduduk Palestin mati Syahid memasuki hari ke 64 serangan Israel terhadap Gaza.

Menurutnya, menerusi maklumat statistik pejabat media kerajaan Hamas di Gaza, seramai 7,870 kanak-kanak dan 6,121 wanita terkorban setakat kelmarin.

"Berdasarkan angka itu, secara purata 281 penduduk Palestin di Gaza dibunuh setiap hari oleh tentera Israel sejak 64 hari lalu. Ini belum mengambil kira lebih 8,000 penduduk Gaza yang masih hilang dengan kebanyakannya tertimbus hidup-hidup di bawah runtuhan bangunan serta kediaman dibom Israel," katanya.

Menurutnya, dalam tempoh 24 jam semalam, lebih 1,587 serangan dan pembunuhan beramai-ramai dilakukan tentera Israel sama ada melalui serangan udara dan darat.

"Bilangan penduduk Gaza yang cedera turut meningkat kepada 46,558 individu setakat ini. Lebih malang apabila rata-rata mangsa tidak mendapat rawatan sewajarnya berikutan 22 hospital dan 110 pusat kesihatan di Semenanjung Gaza musnah dibom dan tidak dapat lagi beroperasi.

"Tentera rejim Zionis sememangnya mahu memastikan lebih ramai rakyat Gaza mati dan gagal menerima rawatan kecemasan.

"Ini dibuktikan apabila 288 kakitangan perubatan termasuk doktor mati dibunuh. Selain itu 59 ambulans yang membawa pesakit turut ditembak atau dibom.

"Seramai 32 anggota sukarelawan atau pertahanan awam yang membantu mangsa turut terkorban setakat ini," katanya.

Menurutnya, alasan menyerang kubu tentera Hamas atau pejuang Al-Qassam hanyalah alasan untuk menghalalkan pembunuhan terhadap rakyat biasa.

"Bolehkah anda bayangkan jeritan dan tangisan meminta pertolongan ahli keluarga anda yang hampir mati di bawah timbunan runtuhan besar.

"Bolehkah anda bayangkan mendengar rintihan anak-anak kecil atau adik-beradik yang anda sayangi tanpa mampu anda membantu atau menyelamatkan mereka ? Itulah apa yang kami rasai kini," katanya.

Menurutnya, masih banyak mayat mangsa dan ahli keluarga yang terbunuh di bawah runtuhan tidak dapat dibawa keluar sehingga kini.

"Pengeboman dahsyat tanya henti terus berlaku di Khan Yunis, selatan Gaza. Serangan berterusan ini bertujuan memastikan penduduk Palestin yang menderita semakin sengsara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 7:03 AM