Ibu bapa kanak-kanak di Gaza buat persediaan mudahkan pengecaman mayat.
Ibu bapa kanak-kanak di Gaza buat persediaan mudahkan pengecaman mayat.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Tulis nama anak pada kaki, tangan atau badan bagi memudahkan pengecaman identiti sekiranya tubuh kanak-kanak terbabit berkecai akibat serangan bom tentera Israel.

Perkara itu didedahkan Ketua Pengarah Perhubungan Awam Kementerian Pendidikan di Gaza, Abu Ayesh susulan kesukaran dihadapi anggota penyelamat dan kakitangan hospital bagi mengenal pasti identiti atau serpihan mayat mangsa yang ditemui di lokasi dibom tentera Israel.

Menurutnya, sehingga kini seramai 2,360 kanak-kanak menjadi korban keganasan tentera Israel.

"Ibu bapa kanak-kanak di Gaza terpaksa menulis nama anak masing-masing pada kaki atau tangan sebagai persediaan berdepan kemungkinan buruk.

"Sebelum ini ada mayat kanak-kanak hancur atau terputus anggota badan, sekali gus menyukarkan untuk proses pengecaman dan pengebumian," katanya.

Menurutnya, amat menyedihkan apabila anggota penyelamat menemui mayat ramai bayi dan kanak-kanak rentung, mati berkecai termasuk ada antaranya ditemui terpelanting hingga ke atas bumbung.

"Sehingga hari ini (semalam) tentera Israel menggugurkan 12,000 tan bom dan peluru berpandu di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu.

"Ini bersamaan kuasa letupan bom dijatuhkan di Hiroshima, Jepun pada Ogos 1945.

"Dianggarkan purata 33 tan bahan letupan dijatuhkan bagi setiap kilometer persegi kawasan di Gaza sejak awal serangan gila dilakukan tentera Zionis," katanya.

"Berdasarkan angka dikeluarkan Dr Ashraf AlQudra selaku jurucakap Kementerian Kesihatan di Gaza semalam, tentera Israel menyerang 47 lokasi di Gaza dan membunuh 704 rakyat dalam 24 jam lalu.

"Dalam tempoh 18 hari serangan udara Israel, kematian penduduk Gaza meningkat kepada 5,791 mangsa selain 16,297 lagi yang cedera.

"Kami menjangkakan ribuan lagi mangsa dan mayat penduduk Gaza masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan serta kediaman yang diletupkan tentera Israel," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Muslim Care Malaysia (MCM) -Palestin berkata, Kementerian Kesihatan di Gaza menerima 1,550 laporan orang hilang yang dipercayai masih berada di bawah runtuhan kediaman termasuk 870 kanak-kanak.

"Seramai 1,292 wanita dan 295 warga emas turut menjadi mangsa keganasan Zionis.

"Kakitangan perubatan di Gaza kini sedang bergelut untuk merawat luka melecur berpunca senjata tidak dikenal pasti yang digunakan oleh tentera Israel," katanya.

Sementara itu menurutnya, serangan Israel turut membunuh 65 kakitangan penjagaan kesihatan yang bertugas di Gaza.

"Sebanyak 12 hospital dan 32 pusat penjagaan kesihatan kini tidak dapat beroperasi akibat serangan Israel selain isu kekurangan bahan api berpunca pengepungan yang berterusan.

"Walaupun pihak hospital menggandakan kapasiti katil pesakit namun hospital tidak lagi boleh menyediakan penjagaan klinikal asas.

"Kementerian Kesihatan menganggap sistem penjagaan kesihatan di Semenanjung Gaza sama sekali tidak boleh digunakan dan tidak lagi berkesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 10:00 AM