SERAMAI 614 kanak-kanak terkorban dalam serangan bertali arus dilakukan rejim Israel terhadap Palestin sejak tujuh hari lalu.
SERAMAI 614 kanak-kanak terkorban dalam serangan bertali arus dilakukan rejim Israel terhadap Palestin sejak tujuh hari lalu.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: "Ini adalah pembunuhan paling kejam terhadap kanak-kanak Gaza dan mungkin pernah berlaku dalam sejarah dunia. Seramai lebih 614 kanak-kanak terkorban dalam serangan bertali arus dilakukan rejim Israel sejak tujuh hari lalu," ujar penghuni Tebing Gaza, Ahmed Abu Ayesh yang dihubungi wartawan melalui WhatsApp, semalam.

Beliau yang juga Pengurus Muslim Care Malaysia-Palestin berkata, berdasarkan angka direkodkan Kementerian Kesihatan di Gaza, seramai 1,900 rakyat Palestin di Gaza maut akibat serangan tentera Israel.

"Kematian membabitkan 614 kanak-kanak dan 370 wanita. Serangan pelbagai jenis bom berangkai dan roket turut mengakibatkan 7,696 penduduk Palestin cedera.

"Ini termasuk 2,000 kanak-kanak dan 1,700 wanita yang kini mendapatkan rawatan dan perlindungan di Hospital Al-Shifa di tengah bandar Gaza," katanya.

Beliau berkata, selain kepungan dan memutuskan bekalan elektrik, air, makanan dan bahan api, pihak perubatan di Gaza kini berdepan krisis kekangan peralatan perubatan yang tidak lengkap, ubat-ubatan dan tenaga paramedik bagi merawat bilangan mangsa yang tercedera.

"Apa yang berlaku ini lebih teruk berbanding ketika operasi Pembantaian Gaza oleh tentera Israel pada tahun 2008 yang mengorbankan 1,166 penduduk Gaza dan operasi Tiang Pertahanan pada tahun 2012 yang mengorbankan 174 nyawa," katanya.

Menurutnya, kekejaman tentera Israel sukar digambarkan berikutan mereka turut melakukan serangan terhadap kumpulan pasukan perubatan dan cuba menghalang bantuan kecemasan dilakukan terhadap mangsa.

"Kebanyakan kanak-kanak ini maut akibat dibom ketika berlindung di kediaman masing-masing. Mereka mati dihempap pangsapuri didiami yang runtuh atau cedera parah akibat letupan besar.

"Ramai juga yang melecur teruk akibat penggunaan bom fosforus putih yang digunakan tentera Israel di bumi Gaza," katanya.

Beliau berkata, jumlah individu yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan yang dibom juga semakin meningkat termasuk mereka yang tercedera dan mati syahid.

Beliau berkata, Israel dengan sengaja menyasarkan serangan ke atas ambulans Palestin di Gaza yang meragut nyawa enam pekerja dan mencederakan 18 individu yang lain.

"Ribuan nyawa pesakit kronik yang menerima rawatan berada dalam bahaya apabila 29 dari 52 pusat penjagaan di bawah seliaan Kementerian Kesihatan berhenti berfungsi serta-merta akibat serangan tidak berperikemanusian rejim Israel.

"Serangan bom oleh tentera Israel masih berterusan sehingga kini. Tiada tanda-tanda gencatan senjata. Mereka (Israel ) mahu menghancur dan memusnahkan kawasan penempatan padat di Gaza," katanya, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2023 @ 7:15 AM