PENUTUP sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) di Universiti Asia Pasifik. FOTO Azhar Shahrulnizam
PENUTUP sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) di Universiti Asia Pasifik. FOTO Azhar Shahrulnizam
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Persatuan Kolej dan Universiti Swasta Malaysia (MAPCU) menjalin kerjasama dalam usaha menyatakan komitmen memerangi rasuah bermula dari kalangan pelajar.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, bersempena sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) 2023, pihaknya menjalin kerjasama bagi membawa mesej tegas dan jelas kepada anak muda mengenai bahaya rasuah.

"SPRM sangat serius dalam memberi kesedaran memerangi rasuah dalam kalangan rakyat khususnya anak-anak muda dan pelajar serta tidak sanggup melihat generasi muda terjerat dalam perangkap rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam amanat khas bersempena sambutan HARA 2023 menerusi rakaman video di Forum Antirasuah Antarabangsa di Universiti Asia Pasifik di sini, hari ini.

Azam juga berkongsi keterujaan melihat kolej-kolej dan universiti swasta yang bernaung di bawah MAPCU menyatakan komitmen membawa kesedaran serta memerangi rasuah seiring dengan hala tuju dan strategi yang digariskan SPRM iaitu tadbir urus baik, ketelusan dan akauntabiliti.

"Kita mahu masyarakat tidak berkompromi dan tidak bertolak ansur dengan amalan rasuah selain melahirkan sebuah negara yang adil untuk semua, memartabatkan nilai kejujuran, integriti dan memelihara maruah manusia.

"Justeru, saya mengajak semua rakyat Malaysia bersatu padu dan terus utuh melawan gejala rasuah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 3:10 PM