MOHD Zaki bersama peserta pada sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2023 peringkat Zon Sarawak di Universiti Teknologi Swinburne, Sarawak, hari ini. FOTO Ihsan SPRM
MOHD Zaki bersama peserta pada sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2023 peringkat Zon Sarawak di Universiti Teknologi Swinburne, Sarawak, hari ini. FOTO Ihsan SPRM
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Rasuah adalah jenayah berat yang boleh menjejaskan kemajuan sosial dan ekonomi masyarakat, kata Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak Datuk Mohd Zaki Hassan.

Beliau berkata, ia bukan saja melanggar undang-undang malah menjejaskan ekonomi dan pendapatan negara serta masyarakat.

"Dunia kini menghadapi gejala rasuah di setiap peringkat yang dibimbangi boleh mengancam ekonomi dan kestabilan.

"Rasuah tentunya mempunyai pengaruh negatif terhadap masyarakat. Ia berkait rapat dengan konflik dan ketidakstabilan yang menjejaskan pertumbuhan sosial serta ekonomi selain mengancam institusi demokrasi termasuk kedaulatan undang-undang.

"Rasuah tidak lagi isu sampingan tetapi sudah menjadi punca utama yang menjejaskan keamanan kerana menyekat pelaksanaan undang-undang, menjejaskan ekonomi dan penggunaan sumber haram," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2023 peringkat Zon Sarawak di Universiti Teknologi Swinburne, Sarawak, hari ini.

Seramai 180 penuntut antarabangsa dari universiti swasta seluruh Sarawak menghadiri program berkenaan.

Sambutan HARA 2023 bertemakan 'Uniting The World Against Corruption' mensasarkan penuntut antarabangsa dari universiti awam dan swasta seluruh negara.

Mengulas lanjut, Mohd Zaki berkata, sambutan HARA 2023 memberi peluang memperbaharui komitmen terhadap usaha mencegah dan memerangi rasuah.

Beliau berkata, usaha memerangi rasuah tidak lagi tanggungjawab satu entiti sebaliknya menjadi tanggungjawab setiap individu, pelajar, masyarakat, pihak berkuasa, media, agensi awam dan swasta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 7:59 PM