AZAM (tiga kiri) dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan (tiga kanan) pada Prapelancaran Projek Kerjasama Penerbitan dan Program Penerapan Nilai Integriti (Antirasuah) usaha sama antara SPRM dan ITBM di PBAKL 2024. FOTO Saifullizan Tamadi
AZAM (tiga kiri) dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan (tiga kanan) pada Prapelancaran Projek Kerjasama Penerbitan dan Program Penerapan Nilai Integriti (Antirasuah) usaha sama antara SPRM dan ITBM di PBAKL 2024. FOTO Saifullizan Tamadi
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) hari ini, melancarkan siri komik Wira Anti Rasuah.

Penerbitan komik berkenaan adalah inisiatif kerjasama strategi SPRM dan ITBM untuk meningkatkan kesedaran dan menjadi medium pendidikan antirasuah dalam kalangan murid.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, selain itu menerusi komik ini ia secara tidak langsung mendedahkan amalan rasuah dan kesannya kepada masyarakat serta negara.

"Fokus utama aktiviti pendidikan kami adalah menyampaikan mesej antirasuah secara berterusan kepada setiap lapisan masyarakat, seterusnya meningkatkan kesedaran dan keyakinan masyarakat terhadap usaha pencegahan rasuah di Malaysia.

"Di peringkat umur inilah asas dalam membentuk masyarakat yang berintegriti, jujur dan tidak mengambil hak orang lain boleh diterapkan selaras bagi merealisasikan impian untuk melahirkan generasi Malaysia yang bebas rasuah," katanya pada Majlis Prapelancaran Projek Kerjasama Penerbitan dan Program Penerapan Nilai Integriti (Antirasuah) Usaha Sama SPRM dan ITBM di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Azam berkata, kerjasama strategik ini antara lain merangkumi usaha untuk memberi pendedahan terhadap gejala rasuah dan salah guna kuasa melalui penerbitan komik, memupuk kesedaran bahaya amalan rasuah dan salah guna kuasa.

"Dengan hasil penerbitan yang disusuli program dan aktiviti yang membabitkan penyertaan murid, usaha ini jelas sekali dilaksanakan secara serius dan berterusan untuk membina impak yang besar kepada inisiatif untuk menerapkan nilai integriti.

"Projek kerjasama antara ITBM, KPM dan SPRM dalam menerbitkan bahan bacaan seperti komik dan video animasi seperti program hari ini diharapkan dapat memberi impak positif kepada

murid-murid," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 2:52 PM