SHEIKH Hamadi hadir pada sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2023 peringkat Zon Selatan di Southern University College (SUC) Johor Bharu. FOTO ihsan SPRM
SHEIKH Hamadi hadir pada sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2023 peringkat Zon Selatan di Southern University College (SUC) Johor Bharu. FOTO ihsan SPRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Mendidik pelajar mengenai bahaya rasuah dan pentingnya nilai integriti dapat melahirkan generasi muda kelas pertama yang bebas rasuah.

Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, Sheikh Hamadi Sheikh Abdul Hamid berkata, rasuah adalah jenayah global yang sudah lama wujud dan memberi kesan negatif kepada sesebuah negara.

Menurutnya, bagi membendung, membanteras dan mencegah rasuah, semua masyarakat perlu berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing.

"Rakyat dari pelbagai latar belakang dan peringkat usia mampu dan boleh membantu kerajaan dalam memerangi rasuah.

"Golongan muda dilihat lebih terdedah kepada budaya rasuah berikutan pelbagai faktor seperti peningkatan kos sara hidup," katanya ketika berucap pada sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2023 peringkat Zon Selatan di Southern University College (SUC) Johor Bharu, semalam.

Sheikh Hamadi berkata, justeru, kesedaran awal perlu dipupuk bagi memastikan budaya negatif itu dapat dibanteras.

"SPRM amat menitikberatkan mendidik pelajar anti rasuah dan nilai integriti, melalui usaha ini diharap ia dapat melahirkan generasi muda kelas pertama yang bebas rasuah dalam semua aspek dan negara akan menuju ke arah tanpa rasuah.

"Usaha mencegah dan memerangi rasuah juga perlu diperluaskan kepada platform atau media lain yang mana orang ramai boleh memainkan peranan menyalurkan sebarang maklumat mengenai jenayah rasuah," katanya

Beliau berkata, di samping itu, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan dasar perlindungan pemberi maklumat yang berkesan untuk melindungi pemberi maklumat.

"Langkah ini ia juga akan menyumbang ke arah institusi yang berkesan, bertanggungjawab, telus, berintegriti dan adil," katanya.

Program bertemakan "Uniting The World Againts Corruption" dihadiri oleh pelajar universiti swasta termasuk luar negara bertujuan meningkatkan integriti dalam kalangan belia sebagai persediaan awal memasuki sektor pekerjaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 1:27 PM